
Bas Pelancong Bawa 41 Penumpang Dilapor Kemalangan
Sebuah bas pelancong yang membawa 41 penumpang terlibat kemalangan selepas merempuh sebuah treler, pada awal pagi Sabtu.
Difahamkan, kejadian dilaporkan berlaku di KM259.4 Lebuhraya Utara Selatan (hala utara) berhampiran Gopeng, Perak.
Bas berkenaan yang membawa tiga lelaki, 33 wanita, lima kanak-kanak berserta seorang pemandu sedang dalam perjalanan ke Kedah dari Melaka.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, mengesahkan bahawa pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada kira-kira jam 4.03 pagi.
Sejurus laporan diterima, pasukan penyelamat dari balai Gopeng dan Simpang Pulai segera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Pemerhatian awal di lokasi kejadian mendapati bahawa bahagian hadapan bas telah remuk dipercayai akibat merempuh belakang treler.
“Empat penumpang bas terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki dewasa mengalami cedera ringan.
“Manakala penumpang-penumpang lain berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan sebelum pihak bomba tiba,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penumpang-penumpang yang cedera telah diberikan rawatan awal oleh pihak EMRS sebelum dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.
Tambah beliau, operasi yang melibatkan seramai 15 anggota bomba itu berakhir pada kira-kira jam 5.01 pagi.
Sumber: Malaysia Gazette
The post Bas Pelancong Bawa 41 Penumpang Dilapor Kemalangan appeared first on Siakap Keli.



