Bas rempuh lori treler, seorang penumpang wanita maut

17 Jun 2022 • 10:49 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Seorang penumpang wanita maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dengan lori treler di kilometer 425.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke selatan berhampiran Bukit Beruntung, Selangor.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.32 pagi tadi, sebelum anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa tiba di lokasi pada 4.54 pagi.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi tadi, bas tersebut merempuh bahagian belakang lori treler 20 tan yang bergerak dari arah sama.

“Mangsa yang duduk di kerusi hadapan sekali tersepit di bahagian yang remuk. Mangsa berjaya dikeluarkan pada 5.13 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata ketika kejadian mangsa Hamaizah Fadzilah, 54, berada dalam bas berkenaan bersama 40 penumpang lain.

Bagaimanapun, Norazam berkata pemandu bas dan lori treler serta penumpang lain, tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan itu.

Beliau berkata punca kemalangan masih dalam siasatan.-Bernama