Bas Terbabas Jatuh Gaung, 19 Orang Dilaporkan Selamat

21 Jun 2024 • 10:18 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Sebuah bas ekspres dilaporkan terbabas dan terjatuh ke dalam gaung yang berkecerunan lebih kurang 50 meter di Batu 9, Jalan Silam, Lahad Datu pada Khamis.

Memetik laporan Bernama, Ketua Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid menyatakan 19 orang termasuk dua pemandu serta seorang konduktor yang terbabit dalam insiden itu dilaporkan selamat meskipun empat daripada mereka mengalami kecederaan dan kini stabil di Hospital Lahad Datu.

image is not available

Foto: FB Jabatan Bomba dan Penyelamat

Dalam pada itu, Sumsoa berkata, kejadian berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan ke Kota Kinabalu namun, beberapa orang yang menaiki kenderaan itu dikatakan berjaya menyelamatkan diri setelah terjatuh ke dalam gaung tersebut.

“Bas dalam perjalanan dari Semporna ke Kota Kinabalu ini terjatuh ke dalam gaung dengan kecerunan gaung itu lebih kurang 50 meter.
“Beberapa individu berjaya keluar sendiri daripada bas,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

image is not available

Foto: FB Jabatan Bomba dan Penyelamat

Menurut laporan media malam semalam, seramai 20 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu serta tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela Silam telah bergegas ke tempat kejadian seusai menerima panggilan berhubung insiden tersebut kira-kira jam 9.24 malam.

image is not available

Foto: FB Jabatan Bomba dan Penyelamat

Sumber: Bernama