Bashar al-Assad dihukum mati atas jenayah perang

WorldPolitics
11 Aug 2026 • 8:10 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bashar al-Assad dihukum mati atas jenayah perang

DAMSYIK: Bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad, dijatuhi hukuman mati oleh sebuah mahkamah Syria hari ini selepas didapati bersalah atas kesalahan berkaitan kekejaman yang dilakukan sepanjang perang saudara hampir 14 tahun di negara itu.

Ia merupakan keputusan pertama seumpamanya di bawah kepimpinan peralihan Syria yang menggulingkan Bashar pada Disember 2024 dan berikrar untuk memberikan keadilan dan akauntabiliti atas jenayah yang dilakukan di bawah pemerintahannya.

Bashar melarikan diri ke Moscow ketika pasukan diketuai kumpulan Islamis menghampiri Damsyik dalam satu serangan pantas.

Dalam prosiding di sebuah mahkamah di Damsyik, Hakim Fakhr al-Din al-Aryan mensabitkan Bashar atas beberapa kesalahan termasuk pembunuhan terancang, pembunuhan sengaja terhadap lebih daripada seorang, pembunuhan kanak-kanak berusia bawah 15 tahun, penyeksaan yang membawa kepada kematian serta beberapa kesalahan menafikan kebebasan.

Kesalahan berkenaan diklasifikasikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang.

“Oleh itu, beliau dijatuhi hukuman mati,” kata hakim itu.

Pada April, Syria memulakan prosiding terhadap Bashar dan beberapa pegawai lain yang didakwa melakukan kekejaman, sama ada secara berdepan atau tanpa kehadiran, sepanjang perang saudara yang tercetus selepas tindakan keras pihak berkuasa terdahulu terhadap penunjuk perasaan prodemokrasi.

Lebih 500,000 orang kemudian terbunuh dan jutaan lagi terpaksa meninggalkan kediaman mereka, manakala puluhan ribu dilaporkan hilang, kebanyakannya dipercayai ditahan dalam sistem penjara negara itu.

Mahkamah itu turut menjatuhkan hukuman mati secara tanpa kehadiran terhadap enam bekas pegawai tentera dan keselamatan, termasuk adik Bashar, Maher, yang mengetuai Divisyen Keempat elit tentera Syria sebelum turut melarikan diri dari negara itu.

Antara yang disabitkan kesalahan ialah bekas Menteri Pertahanan, Fahd al-Freij, dan Louay al-Ali, yang mengetuai perisikan tentera di wilayah Daraa pada 2011.

Mahkamah mendapati mereka bersalah atas beberapa kesalahan termasuk pembunuhan, menghasut pembunuhan, penyeksaan sehingga menyebabkan kematian serta berulang kali menafikan kebebasan individu.

Bekas pegawai keselamatan, Atif Najib, yang merupakan satu-satunya tertuduh hadir di mahkamah, turut dijatuhi hukuman mati atas jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan ketika beliau mengetuai keselamatan politik di wilayah Daraa, lokasi tercetusnya kebangkitan rakyat Syria pada 2011.- AFP

The post Bashar al-Assad dihukum mati atas jenayah perang appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved