
KUALA TERENGGANU – Seorang pengusaha songket muda kelahiran Terengganu melahirkan rasa bangga apabila busana hasil tenunan syarikatnya menjadi pilihan Bella Astillah dan Syed Saddiq dalam majlis resepsi perkahwinan mereka, minggu lalu.
Hajar Ariffin, 25, yang mengusahakan Terengganu Songket berpuas hati apabila berjaya menyiapkan kain songket pasangan pengantin tersebut yang meraih perhatian ramai dalam tempoh sebulan sahaja.
“Pasukan kami yang diketuai mama saya, Zainun Jusoh, 61, bertungkus-lumus menyiapkan kain songket tersebut.
“Kebiasaannya kita memerlukan kira-kira tiga bulan untuk menyiapkannya, namun demi permintaan Bella, kami siapkan juga dalam sebulan sahaja,” katanya ketika ditemui di bengkel perusahaannya di Kampung Bukit Depu, di sini, semalam.
Hajar berkata, proses menyediakan kain songket untuk persalinan Bella Astillah dan Syed Saddiq yang lebih mesra digelar BASS itu bermula daripada proses penyediaan benang, mencelup warna, mereka bentuk corak dan menenun.
Katanya, ketelitian diperlukan memandangkan kain songket berkenaan menggunakan warna terracotta atau batu-bata yang kelihatan berbeza mengikut pencahayaan.
“Mama menjadi individu penting dalam pemilihan warna, penyediaan benang dan reka bentuk serta menenun songket dengan bantuan pekerja-pekerja kami.
“Kerjasama berpasukan amat penting bagi memastikan kain songket ini siap mengikut jadual. Kami bekerja sehingga lewat malam bagi menyelesaikannya,” ujarnya.
Hajar berkata, kepercayaan Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, memilih Terengganu Songket untuk menghasilkan persalinan songket bagi hari bahagia bersama suaminya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34, yang juga Ahli Parlimen Muar merupakan penghormatan besar buat perusahaannya.
Menurutnya, ia bukan sekadar rezeki buat syarikatnya, malah peluang terbaik bagi memperkenalkan hasil tenunan songket Terengganu.
“Alhamdulillah busana songket berwarna terracotta itu mendapat perhatian dan tular di media sosial. Semakin ramai pihak berminat dan mula bertanya tentang produk tenunan Terengganu Songket,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘BASS’ popularkan songket Terengganu appeared first on Kosmo Online.

