BAT Malaysia rugi RM35.15 juta, tekanan kos dan rokok haram cetus kerugian pertama sejak 1999

LocalBusiness & Finance
25 May 2026 • 6:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BAT Malaysia rugi RM35.15 juta, tekanan kos dan rokok haram cetus kerugian pertama sejak 1999 Image from: BAT Malaysia rugi RM35.15 juta, tekanan kos dan rokok haram cetus kerugian pertama sejak 1999 liza25/05/2026 - 18:35 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Mei – British American Tobacco (Malaysia) Bhd atau BAT Malaysia mencatatkan kerugian suku tahun pertamanya sejak 1999 apabila syarikat itu berdepan tekanan kos operasi yang meningkat dan kejatuhan jualan yang ketara.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, ia merekodkan kerugian bersih sebanyak RM35.15 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, berbanding keuntungan bersih RM23.27 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

“Pendapatan turut merosot hampir separuh kepada RM160.3 juta daripada RM322 juta setahun lalu, mencerminkan penurunan permintaan terhadap rokok sah di pasaran.

 

“Prestasi lemah itu turut dipengaruhi peningkatan kos operasi yang naik 74.7% kepada RM64.68 juta, berpunca daripada perbelanjaan pematuhan peraturan termasuk pelaksanaan larangan paparan runcit di kedai-kedai serta kos penstrukturan semula model operasi syarikat,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Pengarah Urusan BAT Malaysia, Nedal Salem berkata suku pertama merupakan tempoh peralihan bagi kumpulan ketika melaksanakan perubahan dalaman bagi memperkukuh model operasi jangka panjang.

 

Beliau menjelaskan pelaksanaan model “route-to-market” baharu turut menyumbang kepada peningkatan kos dalam usaha meningkatkan kecekapan rangkaian pengedaran.

 

Dalam masa sama, industri tembakau sah terus berdepan tekanan daripada peningkatan aktiviti rokok haram yang memberi kesan langsung kepada jualan syarikat.

 

BAT Malaysia berkata kadar rokok haram dalam pasaran meningkat kepada 56.7% pada suku pertama tahun ini, berbanding 54.4% pada suku sebelumnya.

 

Kenaikan itu juga menyebabkan kira-kira tambahan 22 juta batang rokok haram memasuki pasaran menjejaskan bahagian pasaran produk sah.

 

Selain itu, jumlah jualan rokok sah susut 4.5% dalam tempoh Januari hingga Mac, mencerminkan cabaran permintaan dalam pasaran domestik.

 

Sejajar dengan prestasi yang lebih lemah, syarikat mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak lima sen sesaham, lebih rendah berbanding 7.5 sen pada tempoh sama tahun lalu.

 

Tarikh kelayakan dividen ditetapkan pada 26 Jun, manakala pembayaran akan dibuat pada 24 Julai kepada pemegang saham yang layak.

 

Syarikat itu berkata mereka kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek, namun menjangkakan sedikit pemulihan berperingkat pada suku kedua apabila langkah penstrukturan mula menunjukkan kesan. - DagangNews.com

Terkini standard