Batal kes salah guna kuasa Muhyiddin didengar 11 Julai

Politics
31 May 2023 • 11:35 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhyiddin - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, menetapkan 11 Julai depan untuk mendengar permohonan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membatalkan empat tuduhan salah guna kuasa untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes yang dihadiri pasukan pembelaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk K Kumaraendran dan Amer Hamzah Arshad.

Pihak pendakwaan pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Grarib.

Dalam prosiding, bekas Perdana Menteri itu tidak hadir ke mahkamah selepas pembelaan menghantar surat dengan memohon pemimpin politik itu dikecualikan kehadiran kerana prosiding hanya membabitkan peringkat pengurusan kes.

Semasa prosiding, Hisyam berkata, pihaknya akan mengemukakan hujahan yang panjang kerana ia membabitkan isu baharu.

Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu pada 18 April lalu dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Beliau memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah berikutan tiada mana-mana satu pun mendedahkan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas empat pertuduhan salah guna kuasa untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Ekoran kes ini, Muhyiddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah itu.

Pada 13 Mac lalu Muhyiddin didakwa atas pertuduhan ketujuh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, selaku Presiden Bersatu menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank, milik parti itu.

AKAN MENYUSUL