Batalkan Lesen Eksport NSM, M’sia Suarakan Bantahan Pada Norway

LocalPolitics
14 May 2026 • 10:27 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Batalkan Lesen Eksport NSM, M’sia Suarakan Bantahan Pada Norway

KUALA LUMPUR - Malaysia telah menyuarakan bantahan terhadap Norway, berhubung keputusan kerajaan negara itu membatalkan lesen eksport bagi sistem peluru berpandu antikapal (NSM) serta sistem pelancar berkaitan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantahan tersebut disuarakan menerusi perbualan telefon dengan Perdana Menteri Jonas Gahr Støre.

Menurut beliau, alasan untuk melindungi keselamatan negara negara mereka sama sekali tidak boleh diterima. 

“Malaysia telah memenuhi setiap tanggungjawab di bawah kontrak ini sejak tahun 2018 dengan penuh teliti, amanah dan tanpa sebarang keraguan.

“Namun begitu, Norway ternyata tidak merasakan perlu untuk membalas komitmen tersebut dengan tahap kejujuran dan iltikad baik yang sama,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau telah menegaskan bahawa keputusan berkenaan bakal memberi implikasi serius terhadal pertahanan Malaysia.

“Tindakan ini juga akan memberi kesan ke atas program pemodenan Littoral Combat Ship (LCS) dan pastinya membawa implikasi yang lebih luas terhadap keseimbangan strategik di rantau ini,” katanya.

Anwar menarik perhatian, kontrak yang telah dimeterai merupakan suatu perjanjian yang serius dan mengikat. 

“Ia bukan sekadar dokumen yang boleh diperlakukan sesuka hati secara sewenang-wenangnya.

“Sekiranya pembekal pertahanan Eropah merasakan mereka boleh mungkir janji tanpa sebarang akibat, maka nilai dan kredibiliti mereka sebagai rakan strategik akan terhakis sama sekali,” katanya.

Terdahulu, Norway pada saat akhir menarik semula kelulusan ke atas permit eksport bagi NSM.

Sekatan tersebut menjejaskan pembekalan yang dimeterai sejak April 2018, melibatkan kontrak bernilai bernilai 124 juta euro (RM571.9 juta). - Getaran, 14 Mei 2026