
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi akses telekomunikasi di kawasan bencana dengan mengadakan proses penelitian bersama pihak berkepentingan.
MCMC dalam kenyataan berkata hasil tindakan segera pihaknya mendapati semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi telah berjaya mencapai kualiti liputan selular yang baik iaitu melebihi 50Mbps di kawasan tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Jumaat lepas.
“MCMC bersama penyedia perkhidmatan akan terus memantau kualiti perkhidmatan di lokasi itu berada pada tahap terbaik bagi memudahkan operasi SAR (mencari dan menyelamat) serta membolehkan pengamal media menyampaikan maklumat terkini kepada orang ramai,” katanya.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebelum ini mahu suruhanjaya itu dan penyedia rangkaian mudah alih menyegerakan SOP tersebut terutama apabila wujud keperluan khusus untuk operasi SAR di kawasan bencana.
Pada Jumaat lepas (16 Dis), insiden tanah runtuh di Batang Kali, Selangor telah mengorbankan 24 mangsa sehingga kini manakala 61 orang selamat daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat.
Antaranya tindakan MCMC ialah menggerakkan Emergency Disaster and Response Team (EDRT) pada 16 Dis, dengan mengarahkan penyedia perkhidmatan utama iaitu Telekom Malaysia (TM), Celcom, Digi, Maxis dan U-Mobile untuk segera menganalisis serta menggerakkan aset komunikasi ke lokasi kejadian.
“Selain itu, MCMC telah meminta bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO), Malaysian Amateur Radio Emergency Service (MARES) bagi menyediakan komunikasi alternatif dengan menggunakan teknologi radio amatur untuk kegunaan penyelamat berhubung secara pantas.
“Mereka telah tiba lebih awal pada hari itu di tempat kejadian bencana bagi membantu agensi lain menyelamatkan mangsa,” menurut MCMC.
Menurut MCMC, TM juga telah menyediakan perkhidmatan Unifi wifi percuma berkelajuan 800 Megabit sesaat (Mbps) di khemah Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Polis Diraja Malaysia.
“Satu access point sama juga telah diletakkan di trak Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) selaku penyelaras pengamal media,” menurut MCMC.
Suruhanjaya itu berkata antara cabaran yang dihadapi syarikat penyedia rangkaian telekomunikasi dalam memberikan perkhidmatan di lokasi tragedi ialah ketiadaan bekalan elektrik, bentuk muka bumi yang berbukit serta jarak pemancar penyedia perkhidmatan yang menyebabkan teknologi seperti gelombang mikro tidak dapat digunakan kerana ketiadaan Line Of Sight (LOS).
“Pihak TM telah secara segera menyediakan tindakan alternatif dengan menarik dan menyediakan kabel gentian optik sejauh 2 kilometer dari Nod Awana Genting dan penyediaan MoVIC (sel IP boleh alih) TM di tapak bencana.
Ini membolehkan teknologi Multi Operator Core Network (MOCN) digunakan oleh penyedia perkhidmatan dan memberikan liputan bagi rangkaian masing-masing,” kata MCMC. - Bernama
