Krisis tenaga disebabkan perang di Asia Barat membuatkan penggunaan sumber tenaga nuklear kembali dibincangkan. Reaktor garam cair Thorium ialah antara yang menjadi perhatian kerana dilihat lebih selamat berbanding reaktor uranium yang boleh melebur. Di DARPA, program Rads to Watts ingin merealisasikan bateri nuklear berkuasa tinggi bagi membolehkan komputer riba beroperasi berterusan selama beberapa bulan bagi kegunaan ketenteraan.
Penggunaan komputer di medan perang, dan angkasa lepas dilihat akan menjadi semakin penting dalam masa terdekat. Bateri sedia ada hanya bertahan sekitar sehari sebelum perlu dicas. Ini menyukarkan ia digunakan di lapangan atau lokasi terpencil tanpa sumber kuasa untuk melakukan pengecasan.

Projek Rads to Watts DARPA mahu menukar radiasi nuklear berkuasa tinggi kepada tenaga elektrik dalam skala kilowatt. Sasarannya ialah membangunkan bateri kuasa nuklear dengan kuasa 10 W/kg. Bateri nuklear sedia ada seperti digunakan pada robot Perseverance and Curiosity di Marikh hanya membekalkan kuasa 2.6W/kg.
Avalanche Energy telah diberikan kontrak $5.2 million untuk membangunkan bateri m keadaan pepejal yang mampu menukar zarah alfa kepada elektrik (alfavoltaik). Zarah alfa mudah disekat, tetapi lebih berbahaya kepada manusia.
Bateri nuklear sudah dibangunkan sejak 1914 dengan terdapat dua versi satu mengubah haba yang terhasil dari proses reputan radioaktif menjadi kuasa elektrik menggunakan termogandingan. Satu lagi menggunakan partikel beta untuk menggerakkan elektron pada bahan semikonduktor bagi menghasilkan arus.
Di China syarikat Betavolt mengumumkan kejayaan membina bateri nuklear yang boleh bertahan sehingga 50 tahun tanpa perlu dicas pada tahun 2024. Bateri ini menggunakan isotop Nikel-63 yang menghasilkan kuasa 100 mikrowatts dan voltan 3V. Ia hanya bersaiz 15x15x15 milimeter yang sangat kompak.

