
KUALA LUMPUR 23 Dis – Batik Air terus memperkukuh peranannya dalam merancakkan hubungan udara di Sabah dan Sarawak apabila melancarkan dua laluan baharu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI).
Langkah terkini syarikat penerbangan tempatan itu, sekali gus menghubungkan destinasi utama antara Sabah dengan Sarawak serta mempertingkatkan kesalinghubungan dalam negeri.
Katanya, ia memulakan penerbangan sulung antara Kota Kinabalu dan Kuching, di samping memperkenalkan perkhidmatan terus ke Sandakan (SDK), yang menawarkan perjalanan pantas dan lancar merentasi Borneo.
Menurutnya, perkhidmatan harian baharu itu menyediakan pilihan perjalanan yang mudah berbanding perjalanan darat yang panjang atau penerbangan transit, di samping mengukuhkan hubungan serta meningkatkan kebolehcapaian.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Datuk Chandran Rama Muthy berkata, pelancaran laluan baharu dari Kota Kinabalu itu merupakan satu pencapaian penting dalam usaha syarikat menjadikan Kota Kinabalu sebagai hab utama di Malaysia Timur.
“Laluan ini bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan dalam rantau ini, malah membuka ruang kepada lebih banyak perkembangan menarik pada masa hadapan. Kami juga akan memperkenalkan penerbangan terus dari Kota Kinabalu ke Singapura, yang dijadualkan bermula pada Februari tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, inisiatif itu selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan mencerminkan komitmen Batik Air dalam menghubungkan komuniti serta merangsang sektor pelancongan di Sabah dan kawasan sekitarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Julinus Jeffery Jimit berkata, peluasan jadual penerbangan itu membantu memenuhi permintaan perjalanan yang semakin meningkat antara bandar-bandar jiran seperti Kuching dan Kota Kinabalu, di samping memperbaiki akses ke Sandakan yang dikenali sebagai pintu masuk kepada tarikan hidupan liar dan alam semula jadi Sabah.
“Penerbangan ini meningkatkan kemudahan perjalanan, menyokong pergerakan yang lebih lancar di seluruh Borneo, serta menambah baik akses ke destinasi-destinasi utama di Sabah,” katanya.
Menurut beliau, perkembangan tersebut sejajar dengan inisiatif Terokai Sabah 2026 yang menekankan kesalinghubungan sebagai asas untuk mengagihkan kedatangan pelawat, menggalakkan tempoh penginapan lebih panjang dan memacu pertumbuhan pelancongan yang lebih seimbang di seluruh negeri.
Bermula 15 Disember 2025, Batik Air akan menambah tujuh penerbangan mingguan bagi laluan Kuching–Kota Kinabalu dan Sandakan–Kota Kinabalu, dengan kapasiti sebanyak 1,120 tempat duduk seminggu bagi setiap laluan.
Sambutan penerbangan sulung di Kota Kinabalu itu juga merupakan sebahagian daripada peluasan rangkaian Batik Air yang lebih luas yang dilancarkan baru baru ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara syarikat penerbangan yang berkembang paling pesat di rantau ini.
Di Semenanjung Malaysia, pelancaran laluan baharu seperti Tashkent, Uzbekistan (TAS)–Langkawi (LGK) serta Kansai, Osaka (KIX)–Kuala Lumpur (KUL) yang turut bermula baru-baru ini.
Menurut syarikat itu, ia mencerminkan komitmen berterusan Batik Air dalam menghubungkan komuniti, memperluas peluang pelancongan dan menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar kepada penumpang. - DagangNews.com



