Batik Air Lancar Laluan Baru KL-Bintulu Dan KL-Miri

29 Oct 2024 • 5:29 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

KL-Bintulu bermula 1 November ini, manakala KL-Miri bermula Januari 2025

Batik Air Lancar Laluan Baru KL-Bintulu Dan KL-Miri. Batik Air akan melancarkan penerbangan terus baharu antara Kuala Lumpur-Bintulu bermula 1 November 2024, dengan kekerapan 10 penerbangan seminggu.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin menegaskan langkah ini sebagai satu usaha penting dalam meningkatkan kemudahsampaian dan melancarkan perjalanan ke Sarawak.

image is not available
Batik Air Lancar Laluan Baru KL-Bintulu Dan KL-Miri

Dalam perkembangan yang lain, Batik Air juga akan memulakan penerbangan Kuala Lumpur-Miri pada 14 Januari 2025, dengan 14 penerbangan seminggu.

“Laluan-laluan baharu ini dijangka akan mengukuhkan perhubungan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak, memudahkan para pelancong untuk menikmati tarikan unik di rantau ini,” kata Lee dalam kenyataan hari ini, menurut laporan media tempatan.

Penerbangan ini memudahkan peluang ekonomi

Beliau turut menekankan bahawa laluan terus ini penting dalam menggalakkan perjalanan perniagaan, memudahkan pergerakan kargo udara, dan membuka peluang ekonomi di Bintulu dan Miri yang merupakan hab-hab industri utama.

Lee juga menyatakan bahawa dengan pemindahan ibu pejabat Shell ke Miri, Sarawak dijangka akan menarik lebih ramai pelawat dan pelabur, yang akan menyumbang kepada pertumbuhan mampan rantau ini dalam pelbagai sektor.

Dalam pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy di Kuala Lumpur pada hari Isnin (28 Okt), Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) membincangkan potensi perkhidmatan penerbangan tambahan ke Sarawak, termasuk laluan antarabangsa terus antara Kuching dan Singapura.

Pertemuan ini menunjukkan komitmen Batik Air untuk mengembangkan rangkaiannya bagi menyokong pertumbuhan Sarawak melalui peningkatan perhubungan.

Baca juga artikel yang berkaitan: