Batu Kawa Alami Gangguan Elektrik, Rupanya Berpunca Dari Ular

13 Mar 2025 • 4:17 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Ular tersebut melilit di bahagian peralatan elektrik

Batu Kawa Alami Gangguan Elektrik, Rupanya Berpunca Dari Ular. Satu kejadian gangguan bekalan elektrik yang melibatkan kawasan Batu Kawa dan MJC pada malam 11 Mac lalu disahkan berpunca daripada seekor ular yang bersentuhan dengan peralatan elektrik di persimpangan Batu Kawa-Malihah. Menurut kenyataan daripada Sarawak Energy menerusi cabang operasinya, Syarikat SESCO Berhad (SESCO), kejadian berlaku sekitar jam 8.31 malam ketika hujan lebat melanda Kuching.

Pasukan teknikal SESCO segera bertindak bagi memulihkan bekalan dengan selamat walaupun berdepan keadaan cuaca buruk. Hasil usaha pantas ini berjaya memulihkan bekalan secara berperingkat, dan bekalan elektrik pulih sepenuhnya sekitar jam 10.45 malam pada hari yang sama.

image is not available

Orang awam juga diingatkan supaya melaporkan sebarang gangguan bekalan atau kemunculan hidupan liar berdekatan

Walau bagaimanapun, beberapa kerosakan peralatan susulan menyebabkan gangguan kedua di kawasan Riccarton Avenue, Moyan Mall, Pusat Komersial Batu Kawa, Batu Kawa New Bazaar serta Rantau Panjang sebelum bekalan dipulihkan sepenuhnya pada jam 11.39 malam.

Pengurus Wilayah Barat Sarawak Energy, Effendy Syaiful Abdullah, berkata keutamaan pihaknya adalah untuk memulihkan bekalan dengan selamat dan secepat mungkin. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pelanggan yang bersabar dan memahami kesukaran pasukan teknikal yang bekerja di bawah keadaan mencabar bagi menyiapkan kerja-kerja pemulihan.

Sarawak Energy turut menegaskan bahawa landskap rangkaian pengedaran elektrik yang melalui pelbagai bentuk muka bumi termasuk kawasan hutan, ladang dan perladangan meningkatkan risiko gangguan berkaitan hidupan liar. Justeru, SESCO terus komited menambah baik perlindungan infrastruktur dan menambah baik sistem sedia ada untuk meminimumkan gangguan serta meningkatkan keupayaan pemulihan bekalan.

Orang awam juga diingatkan supaya melaporkan sebarang gangguan bekalan atau kemunculan hidupan liar berdekatan kemudahan Sarawak Energy dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1300-88-3111, melalui e-mel customercare@sarawakenergy.com, menerusi aplikasi mudah alih SEB Cares dan portal web, atau dengan berinteraksi bersama ejen maya mereka, CARINA.