'Bawa Guardiola ke Anfield ganti Slot' - Pennant

Football
21 May 2026 • 10:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Bawa Guardiola ke Anfield ganti Slot' - Pennant
GUARDIOLA

KEHILANGAN besar yang bakal dihadapi Manchester City mampu menjadi keuntungan buat seteru mereka, Liverpool sekiranya kelab itu bertindak melantik Pep Guardiola bagi menggantikan Arne Slot pada musim panas ini.

Cadangan mengejutkan itu disuarakan oleh bekas pemain sayap The Reds, Jermaine Pennant yang menggesa bekas kelabnya itu bertindak pantas selepas timbul laporan bahawa pengendali City itu bakal meninggalkan Etihad pada penghujung musim.

Guardiola dilaporkan bakal menamatkan tempoh sedekad yang penuh gemilang bersama skuad The Citizens, menyaksikan beliau berjaya merangkul enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dalam tempoh tersebut, beliau pernah mengecewakan Liverpool sebanyak dua kali dalam perebutan kejuaraan liga iaitu pada musim 2019 dan 2022, sekali gus mencetuskan persaingan sengit antara kedua-dua kelab barat laut England itu.

Kempen hambar Liverpool musim ini meletakkan Slot dalam situasi sukar apabila kelab itu sekadar bergelut di tangga kelima liga dan gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

Slot kini berdepan desakan untuk dipecat, dengan spekulasi semakin bertiup kencang susulan hantaran di media sosial oleh bintang utama, Mohamed Salah yang seakan-akan memberi bayangan kritikal terhadap pengurusnya itu.

Melihat kepada situasi tidak menentu di Anfield, Pennant mencadangkan langkah luar biasa untuk membawa Guardiola ke Merseyside, ketika City pula dikhabarkan bakal melantik bekas pengendali Chelsea, Enzo Maresca sebagai pengganti.

Ditanya sama ada beliau mahu melihat Guardiola di Anfield dalam rancangan Inside Liverpool terbitan talkSPORT, Pennant memberikan reaksi positif.

"Sudah tentu, siapa yang tidak mahu? Setiap pasukan di dunia ini pasti mahukan Pep sebagai pengurus mereka," katanya.

Pertembungan antara skuad City kendalian Guardiola dan Liverpool di bawah bimbingan Jurgen Klopp sebelum ini sering menjadi antara aksi paling menarik dalam sejarah EPL, dengan City pernah mengetepikan cabaran Liverpool dengan perbezaan hanya satu mata pada musim 2019 dan 2022.

Persaingan itu diteruskan oleh Slot pada musim lalu apabila beliau berjaya menyekat penguasaan City daripada memenangi gelaran liga berturut-turut.

Bagaimanapun, Pennant menegaskan beliau tidak memedulikan sejarah panjang Guardiola bersama musuh ketat mereka itu sekiranya pengendali berusia 55 tahun itu bersetuju ke Anfield.

"Saya langsung tidak kisah. Jika anda datang ke sini, bermain bola sepak yang menarik dan membawa kemenangan, ya, datanglah. Kami sedia menerima dengan tangan terbuka," ujarnya.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved