Bawa penumpang ke upacara pengebumian, bas sekolah disita

Local
17 May 2026 • 6:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bawa penumpang ke upacara pengebumian, bas sekolah disita
Bas sekolah disita kerana disyaki menyalahgunakan permit.
Image from: Bawa penumpang ke upacara pengebumian, bas sekolah disita
Bas sekolah disyaki membawa penumpang bagi tujuan upacara pengebumian.

BALING - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebuah bas sekolah disini kerana didapati menyalahgunakan permit dengan tujuan membawa penumpang bagi tujuan upacara pengebumian.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, bas membawa 26 penumpang dari Sungai Petani ke Bukit Jenun itu ditahan dalam Ops Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) di susur keluar Tol Gurun kira-kira 12 tengah hari Ahad.

Menurutnya, bas berkenaan dipandu lelaki berusia 73 tahun berasal dari Sungai Petani mengaku menerima upah untuk mengangkut penumpang sekiranya ada permintaan.

"Bas sekolah digunakan untuk membawa penumpang bagi upacara persendirian. Jadi, itu merupakan salah satu kesalahan sebab permit asalnya adalah untuk membawa pelajar sekolah tapi digunakan bagi tujuan lain...Alasan diberikan kurang permintaan untuk membawa pelajar sekolah.

"Salah guna permit... kalau kita bagi permit untuk bawa pelajar sekolah sebagai contoh, (tetapi) dia gunakan untuk tujuan lain (menjadi satu kesalahan)," katanya kepada media di Stesen Penguatkuasa JPJ di Kuala Ketil di sini.

**media[3523769]**

Beliau berkata, bas tersebut disita mengikut Seksyen 80(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 22 (3) APAD 2010 iaitu Melanggar Syarat Lesen Pengendali.

Sementara itu, beliau berkata, JPJ Kedah akan mengadakan Operasi Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidil Adha (HRAA) bermula 24 hingga 31 Mei 2026 bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

Katanya, selain Ops HRAA 2026, JPJ Kedah turut melaksanakan Ops Luxury yang telah bermula sejak 1 Julai 2025 sehingga kini.

"Sehingga kini, sebanyak 23 buah kenderaan mewah disita hasil pelaksanaan Ops Luxury di Kedah...atara kenderaan yang telah diambil tindakan ialah Porsche Cayenne (LKM tamat tempoh), Mini Countryman (LKM tamat tempoh dan tiada insurans) dan Mercedes Benz A250 Sport (LKM tamat tempoh dan tiada insurans, melibatkan tempoh lebih setahun tidak aktif).

"Tindakan tegas ini membuktikan bahawa JPJ Negeri Kedah tidak memilih bulu dalam melaksanakan penguatkuasaan walaupun melibatkan pemilik kenderaan mewah," katanya.

Menurutnya, dalam masa sama, JPJ Kedah turut memperhebat pelaksanaan Ops Overloading dan Ops Perang yang bermula Julai tahun lalu.

Operasi ini memberi fokus kepada kenderaan perdagangan dan kenderaan berat yang melakukan kesalahan lebih muatan, kesalahan teknikal serta ketidakpatuhan terhadap syarat-syarat permit dan keselamatan jalan raya.

 

View Original Article