Bawa pulang MALBATT sebelum terlambat

LocalPolitics
13 Apr 2026 • 7:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bawa pulang MALBATT sebelum terlambat
Langkah itu perlu dipertimbangkan segera bagi memastikan keselamatan anggota. Gambar kecil: Zaki

SHAH ALAM - Sudah tiba masanya kerajaan membuat keputusan berani untuk membawa pulang Malaysian Battalion (MALBATT) sebelum terlambat susulan situasi keselamatan di selatan Lubnan yang semakin meruncing.

Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan segera bagi memastikan keselamatan anggota negara sentiasa menjadi keutamaan berbanding komitmen dalam misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).

Beliau mengingatkan, kerajaan tidak boleh lagi mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam soal melibatkan nyawa anggota negara.

"Keutamaan mesti diberikan kepada perlindungan anggota berbanding komitmen operasi antarabangsa. Penarikan segera MALBATT wajar dipertimbangkan sebagai langkah pencegahan sebelum berlaku tragedi lebih buruk.

"Kita tidak mahu sejarah hitam melibatkan pengorbanan anggota negara berulang dalam keadaan yang boleh dielakkan," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Zaki turut menegaskan, misi keamanan tidak seharusnya mengorbankan nyawa apabila situasi sudah bertukar menjadi zon peperangan terbuka.

Beliau memberitahu, insiden terbaharu melibatkan kereta kebal Israel yang melanggar kenderaan tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) jelas membuktikan bahawa situasi di selatan Lubnan semakin tidak terkawal.

Menurutnya, situasi semasa bukan lagi sekadar risiko sampingan, tetapi ancaman langsung terhadap keselamatan pasukan pengaman termasuk MALBATT.

"Hakikatnya, misi UNIFIL kini berada dalam persekitaran konflik aktif yang sukar diramal. Ketegangan antara Israel dan kumpulan bersenjata di Lubnan terus memuncak tanpa tanda penyelesaian segera," ujarnya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa anggota MALBATT kini terdedah kepada bahaya tembakan silang, serangan udara dan insiden tidak disengajakan, sekali gus menuntut tindakan segera sebelum keadaan menjadi lebih kritikal.

"Insiden melibatkan kontinjen Indonesia (INDOBATT) sebelum ini juga menjadi bukti bahawa pasukan pengaman tidak lagi kebal daripada ancaman maut," menurutnya.

Zaki turut berpandangan, kejadian anggota MALBATT cedera pada tahun 2024 menunjukkan risiko boleh berlaku walaupun dalam pergerakan logistik.

Beliau berkata, perkembangan terbabit membuktikan bahawa tahap keselamatan di kawasan operasi semakin merosot dengan ketara.

Justeru, beliau berkata, Malaysia perlu tegas dalam menilai semula penglibatan dalam UNIFIL demi keselamatan anggota.