Bayar banglo, Porsche, Lexus, ahli Ikram didakwa cuci wang hampir RM18 juta

LocalBusiness & Finance
25 Jun 2026 • 9:55 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bayar banglo, Porsche, Lexus, ahli Ikram didakwa cuci wang hampir RM18 juta
Fakhrudin didakwa atas 17 pertuduhan AMLA antaranya membayar rumah banglo dan enam kereta mewah seperti dua Porsche serta Lexus hampir RM18 juta antara 2021 hingga 2025.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Seorang ahli badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Ikram Hulu Selangor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Sebanyak 17 pertuduhan pengubahan wang haram, antaranya membayar rumah banglo dan tujuh kereta mewah seperti dua Porsche serta Lexus hampir RM18 juta antara 2021 hingga 2025.

Fakhrudin Abd Karim, 57, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Azrul Darus.

“Faham pertuduhan, mohon bicara,” kata lelaki itu yang memakai jaket berwarna biru gelap itu di kandang tertuduh.

Mengikut semua pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM17,997,671.21.

Ia dibuat bagi empat pembayaran rumah banglo (RM10,542,650.10), tiga bayaran kad kredit milik tertuduh (RM2,660,236.59) dan 10 pembayaran bagi tujuh kereta iaitu Mercedes Benz AMG S63, Land Rover Range Rover SVA-BIO V8 SC, dua Toyota Alphard S-C Package, dua Porsche dan Lexus RX300 (RM4,794,784.52). 

Pemindahan dibuat menerusi transaksi dari akaun bank milik Ehsan Cares Solution ke tiga akaun syarikat lain dan satu kad kredit visa platinum milik tertuduh serta satu lagi dari akaun milik tertuduh ke akaun sebuah syarikat bagi pembayaran sebuah Porsche.

Bagi pembayaran kenderaan jenis Lexus RX300 pula dibuat melalui cek dari akaun bank Fakhrudin ke akaun syarikat lain.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua bank di Bangsar dan Bukit Bintang antara 6 Januari 2021 hingga 21 April 2025.

Setiap pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.  

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib berkata, sebelum ini tertuduh didakwa atas 158 pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Susulan itu beliau memohon 17 kes yang dipertuduhan tersebut dipindahkan ke Shah Alam untuk dibicarakan bersama.

“Saya mencadangkan mahkamah menggunapakai jumlah jaminan yang sama diberikan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam iaitu RM500,000 dengan dua penjamin tempatan.

“Termasuk syarat tambahan, pasport tertuduh disimpan oleh mahkamah sehingga kes selesai dan tidak boleh mendekati saksi pendakwaan,” katanya menambah, sebutan semula kes di mahkamah tersebut ditetapkan pada 7 Ogos depan.

Peguam, Datuk N Sivananthan yang mewakili Fakhrudin tidak membantah permohonan pihak pendakwaan.

Azrul kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan.

Pada 16 Jun lalu, dia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas 158 pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM98,270,315.20.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved