Bayar kompaun bukan bermaksud kesalahan rasuah diampunkan – Haniff Khatri

LocalPolitics
21 Aug 2025 • 9:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Haniff Khatri

SHAH ALAM - Pembayaran kompaun oleh individu yang dituduh di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 tidak bermakna kesalahan rasuah yang dikaitkan dengan mereka diampunkan, sebaliknya ia merupakan mekanisme undang-undang yang sah untuk menggugurkan pertuduhan tersebut.

Peguam, Haniff Khatri Abdulla menjelaskan, kompaun merupakan hak yang diberi kepada Orang Kena Tuduh (OKT) jika pertuduhan dibuat di bawah AMLATFPUAA, sebagaimana termaktub dalam Seksyen 92 akta tersebut.

Menurutnya, kompaun berkenaan tidak wujud di bawah undang-undang jenayah biasa tetapi hanya di bawah AMLATFPUAA, maka OKT berhak menggunakan peruntukan berkenaan.

“Apabila undang-undang memberikan pilihan untuk bayar kompaun, ia perlu diambil kira. Jika OKT setuju bayar jumlah yang dipersetujui, maka pendakwa raya boleh menggugurkan kes. Sama seperti saman trafik, bila kita bayar kompaun, pihak pendakwa tidak boleh lagi bawa ke mahkamah.

“Rakyat kena faham, bila undang-undang memberi pilihan sama ada dibawa ke mahkamah sampai bicara selesai atau diberi kompaun atau gugurkan kes, jangan terus anggap ada double standard.

“Ini berlaku sebab ada pertuduhan AMLATFPUAA. Bila ada kompaun diterima, maka wajarlah mahkamah lepaskan, sebab tak boleh dituduh lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Haniff menjelaskan, pembayaran kompaun juga tidak membawa kepada sabitan atau rekod sabitan, juga tidak bermaksud wujud pengakuan bersalah.

Menurut beliau, pilihan untuk kompaun di bawah pertuduhan AMLATFPUAA membolehkan pendakwa raya gugurkan kes, sekiranya mereka boleh memperoleh apa yang dijangkakan.

"Contohnya, kalau jumlah kompaun RM4 juta, itu mungkin sama dengan hukuman denda jika kes berjalan. Jadi, tak perlu perbicaraan panjang. Ini adalah budi bicara pendakwa raya.

"Kalau kita bayar saman JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan), itu tidak semestinya pengakuan salah. Mungkin kita tidak mahu buang masa di mahkamah. Begitu juga dengan kes AMLA...kompaun yang dibayar bukanlah sabitan atau rekod pengakuan bersalah,” jelasnya.

Beliau berkata, langkah menerima kompaun biasanya diputuskan selepas menilai kekuatan sesuatu kes.

“Untuk buktikan pertuduhan rasuah bukan mudah. Kalau saksi tukar keterangan atau kes lemah, pendakwa raya mungkin pertimbang jalan tengah iaitu terima kompaun.

“Itu sebabnya ia dianggap sebagai budi bicara Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Sehubungan itu tegas beliau, rakyat perlu memahami bahawa kompaun AMLATFPUAA adalah mekanisme undang-undang sedia ada dan tidak boleh dianggap sebagai laluan untuk menghalalkan rasuah.

"Itu adalah proses keadilan yang wujud dan kita tak boleh andaikan bahawa ini adalah untuk memberikan peluang untuk orang membuat rasuah.

"Sebab pihak pendakwa raya pun tahu ada kemungkinan beberapa saksi mereka yang lemah, yang tak boleh hadir atau yang tak kan hadir atau bagi keterangan yang tak lengkap, itu yang mendorong mereka untuk menerima kompaun AMLA dan gugurkan dan lepaskan semua kes," kata beliau.