
KUALA LUMPUR – Peningkatan kos sara hidup sudah menjadi fenomena biasa mutakhir ini.
Globalisasi menyaksikan perubahan pada nilai mata wang yang sedikit sebanyak, menyumbang kepada kenaikan harga barangan.
Pelbagai senario yang melatari dunia termasuk pertelagahan beberapa kuasa dunia turut memainkan peranan sebagai faktor, apatah lagi jika negara terbabit adalah pengeluar produk asas yang dieksport ke sebahagian besar dunia.
Konflik antara Rusia dan Ukraine misalnya, membawa kepada lonjakan harga minyak bunga matahari, gandum dan jagung memandangkan kedua-dua negara tersebut adalah pengeluar utama semua komoditi berkenaan.
Dalam aspek peningkatan kos sara hidup ini, rakyat Malaysia tidak terkecuali dihimpit beban kewangan, khususnya mereka yang dikategorikan sebagai golongan berpendapatan rendah atau B40.
Beban terbabit diburukkan pula oleh kenaikan premium insurans perubatan.

Apa yang menjengkelkan, kenaikan terbabit tidak didukung oleh peningkatan kualiti dan taraf perkhidmatan atau faedah untuk pelanggan.
Semakin tinggi premium dikenakan, semakin kurang pula manfaat diterima pencarum.
Apabila perkara ini dibangkitkan, syarikat insurans bingkas mempertahankan diri dan mendakwa kenaikan tersebut berpunca daripada peningkatan kos perubatan.
Namun, itu semua adalah omong kosong kerana laporan kewangan menunjukkan kesemua syarikat terlibat mencatatkan keuntungan besar, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada pemegang polisi dibebankan secara tidak adil.
Getaran sebelum ini pernah melaporkan mengenai beban ditanggung pencarum susulan kenaikan premium, tetapi pada masa sama berdepan pengurangan kualiti dan faedah ditawarkan.
Keuntungan Luar Biasa
Tinjauan kami mendapati, beberapa syarikat insurans utama di Malaysia melaporkan peningkatan ketara dalam keuntungan bersih masing-masing.
Great Eastern misalnya, mencatatkan lonjakan 28 peratus dalam keuntungan tahunan, mencecah hampir RM4.7 bilion.
Allianz Malaysia pula merekodkan peningkatan keuntungan sebanyak 19.1 peratus pada suku terakhir 2024, manakala AIA melaporkan kenaikan keuntungan sebanyak 47.2 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun lalu.

Semua laporan ini mencetuskan tanda tanya, bagaimana mereka mampu menghasilkan pulangan sebegini lumayan jika benar berlaku peningkatan ke atas kos perubatan?
Peningkatan dalam portfolio pelaburan setiap syarikat menunjukkan bahawa beban kewangan yang sepatutnya ditanggung oleh industri insurans kini diletakkan di bahu pemegang polisi.
Lebih membimbangkan, pengurangan akses ke hospital panel semakin menjadi trend.
Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) sebelum ini pernah memberi amaran, beberapa hospital swasta berdepan risiko dikeluarkan dari senarai panel insurans berikutan tekanan daripada syarikat insurans untuk mengurangkan kos secara drastik.
Langkah ini jika benar, pastinya membawa kesan serius kepada pesakit, termasuk pilihan hospital yang semakin terhad dan lambakan kes ‘bayar dahulu, tuntut kemudian’ yang berisiko ditolak.
Senario sama juga berpotensi mencetuskan kelewatan dalam menerima rawatan perubatan, khususnya bagi kes yang memerlukan rawatan pakar.
Dalam perdebatan ini, perbandingan antara caj hospital swasta dan kerajaan sering dijadikan alasan untuk menekan premis swasta supaya mengurangkan kos.

Namun, perbandingan ini jika diperhalusi, tidak mengambil kira hakikat bahawa hospital kerajaan menerima subsidi daripada kerajaan.
Keadaan ini jauh berbeza dengan situasi di pusat perubatan swasta yang menyaksikan pengurusan mereka perlu melabur dalam peningkatan teknologi perubatan, menarik tenaga pakar serta menaik taraf fasiliti bagi memastikan perkhidmatan yang berkualiti dapat ditawarkan kepada pesakit.
Syarikat Cenderung Kurangkan Manfaat Polisi
Kebelakangan ini, banyak pihak tampil mendakwa syarikat insurans tidak melabur dalam pembangunan infrastruktur kesihatan, sebaliknya lebih cenderung mengurangkan manfaat polisi dengan mengehadkan pilihan rawatan.
Mereka juga didakwa lebih mengutamakan ubat generik serta menghadkan akses kepada hospital tertentu bagi memaksimumkan keuntungan.
Keadaan ini menimbulkan gesaan agar pihak berkuasa, khususnya Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM), mengambil langkah tegas bagi memastikan syarikat insurans tidak sewenang-wenangnya menaikkan premium tanpa kawalan.
Badan pengawal selia perlu mewujudkan dasar yang lebih ketat bagi mengelakkan pemegang polisi terus terbeban dengan kenaikan kos tanpa manfaat yang setimpal.
Sistem kesihatan Malaysia hakikatnya bergantung kepada keseimbangan antara sektor awam dan swasta.
Namun, jika trend kenaikan premium berterusan tanpa kawalan dan akses kepada rawatan semakin terhad, ia boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem insurans perubatan di negara ini.
Sampai bila agaknya pemegang polisi perlu membayar lebih, tetapi ‘ditipu’ dengan manfaat yang semanin berkurangan? - Getaran, 6 Mac 2025
