johardy12/05/2026 - 09:56 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Mei - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia) menyambut baik tindakan kerajaan menyelesaikan bayaran tertunggak di bawah program Geran Digital PMKS Madani 2025, namun menegaskan kelewatan berbulan-bulan itu tidak sepatutnya berlaku sehingga menjejaskan aliran tunai syarikat teknologi dan keyakinan industri.
Isu kelewatan pembayaran tersebut sebelum ini mencetuskan keresahan besar dalam kalangan pemain industri teknologi selepas Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (Pikom) mendedahkan lebih 70% tuntutan di bawah program itu masih belum dibayar walaupun telah melepasi tempoh enam bulan.
Program geran berkenaan melibatkan lebih 10,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menerima rumusan digital menerusi lebih 400 rakan digital yang dilantik kerajaan.
Dalam kenyataannya, SME Association memaklumkan sebahagian besar bayaran balik kepada penyedia teknologi kini telah diselesaikan, manakala baki pembayaran sedang dimuktamadkan.
Menurut persatuan itu, walaupun pihaknya menghargai langkah kerajaan menyelesaikan tunggakan tersebut, kelemahan pelaksanaan program sehingga menyebabkan penyedia teknologi menanggung beban kewangan berpanjangan adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku.
“Penyedia teknologi telah melaksanakan perkhidmatan mereka, membantu PMKS dalam proses pendigitalan dan memenuhi tanggungjawab di bawah program ini.
Penyedia teknologi tertekan tunggu bayaran
“Namun kelewatan bayaran balik telah memberi tekanan tidak perlu terhadap aliran tunai mereka serta mewujudkan ketidaktentuan kepada syarikat yang bertindak dengan niat baik,” katanya.
Persatuan itu turut menegaskan program bantuan kerajaan mesti disokong dengan tahap akauntabiliti lebih kukuh, koordinasi antara agensi yang lebih cekap dan proses pembayaran yang menepati tempoh dijanjikan.
Katanya, PMKS dan penyedia teknologi bukan sahaja memerlukan pengumuman dasar, malah pelaksanaan yang konsisten dan penyampaian yang boleh dipercayai.
“Komunikasi yang jelas, sistem penjejakan telus, pembahagian tanggungjawab yang nyata dan mekanisme eskalasi lebih pantas amat penting bagi melindungi keyakinan pemain industri,” katanya lagi.
Jaminan Gobind
Bulan lalu, kerajaan bersetuju mempercepatkan proses pembayaran selepas menerima pelbagai aduan daripada industri, dengan Menteri Digital, Gobind Singh Deo memberi jaminan semua tuntutan tertunggak akan diselesaikan sebelum akhir April.
Gobind minggu lalu mengesahkan semua pembayaran tertunggak berjumlah RM19 juta berjaya dikreditkan kepada syarikat terlibat menerusi Bank Simpanan Nasional selepas kementeriannya bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan bagi mempercepatkan penyelesaian tuntutan.
“Saya sukacita mengesahkan semua pembayaran berjumlah RM19 juta berjaya dikreditkan kepada syarikat masing-masing melalui BSN,” katanya. - DagangNews.com


