
SUNGAI BULOH – Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan didakwa terjatuh dan tidak sedarkan diri semasa dalam jagaan seorang pengasuh.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu daripada pegawai perubatan di Hospital UiTM Puncak Alam, dekat sini pada Jumaat, jam 10.42 malam.
Beliau berkata, pihak hospital menyatakan telah menerima seorang pesakit iaitu bayi perempuan berumur 10 bulan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 7.23 malam.
Kata beliau, bayi tersebut telah dibawa dari sebuah klinik di Puncak Alam dengan menggunakan ambulans hospital.
"Pengadu dan doktor pakar kecemasan telah memberikan rawatan pernafasan serta ubatan terhadap bayi tersebut.
"Proses itu mengambil masa lebih kurang 22 minit, namun bayi tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda bernafas," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, pihak polis Daerah Sungai Buloh juga telah menerima satu laporan yang dibuat oleh ibu kepada bayi tersebut.
Katanya, ibu mangsa telah menerima panggilan daripada pengasuh yang memaklumkan bayinya telah terjatuh dan didapati tidak sedarkan diri pada jam 5.40 petang.
Beliau berkata, menurut pengasuh tersebut, kejadian berlaku semasa dia mahu memandikan bayi tersebut, bayi itu terjatuh mengiring ke sebelah kanan dan dalam keadaan sesak nafas.
Katanya lagi, pengasuh telah bertindak membawa bayi tersebut ke sebuah klinik di Puncak Alam.
Sehubungan itu, mayat bayi telah dibawa ke Hospital UiTM Puncak Alam untuk bedah siasat.
Tambahnya, rakaman percakapan daripada pihak pengasuh juga telah dilakukan oleh pihak polis.
"Kes ini telah diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) sehingga keputusan laporan bedah siasat diperoleh," ujarnya.
Sehubungan itu, pihak polis meminta kerjasama orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini boleh hadir ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi hotline Balai Polis Saujana Utama di talian 03-6038 2222 atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Aizad Abd Azik di talian 013-4861194.

