
Seorang bayi lelaki berusia empat bulan dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai tidak sedarkan diri ketika berada di sebuah pusat jagaan kanak-kanak yang beroperasi di dalam kawasan Hospital Seberang Jaya, awal pagi tadi.
Mangsa, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, dikejarkan ke Jabatan Kecemasan hospital kira-kira jam 4 pagi selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri. Doktor kemudian menjalankan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama hampir sejam, namun bayi berkenaan gagal diselamatkan.
Memetik laporan Berita Harian, ibu mangsa, Ummu Habibah Wahab, 30, yang merupakan seorang jururawat, difahamkan sedang bekerja syif malam ketika kejadian berlaku. Keluarga mangsa dimaklumkan selepas pihak pusat jagaan menghubungi ibu bayi tersebut dan memaklumkan wajah anaknya bertukar kebiruan.
Bapa saudara mangsa, Ahmad Lutfihadi Wahab, berkata keluarga mereka kini menuntut siasatan menyeluruh selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pusat jagaan itu dipercayai menunjukkan kemungkinan berlaku unsur penderaan terhadap bayi tersebut.
Menurutnya, laporan polis telah dibuat bagi menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Lutfihadi berkata pusat jagaan kanak-kanak itu beroperasi 24 jam dan berada dalam kawasan hospital, menyebabkan keluarga menyangka tempat tersebut selamat untuk anak saudaranya yang merupakan anak sulung Ummu Habibah.
“Anak saudara saya baru dihantar ke pusat itu selepas kakak saya kembali bekerja selepas tamat tempoh berpantang. Kami tidak pernah menjangka perkara seperti ini boleh berlaku,” katanya.
Baca juga:
‘Tindakan undang-undang paling setimpal akan diambil’- Bapa Hayl Haarith
Dr Maza bimbang pengaruh ideologi ekstrem boleh cetus ketegangan agama
‘Tiga insiden berpontensi menggugat keharmonian masyarakat’
Beliau turut memaklumkan sebelum ini tidak pernah melihat sebarang kecederaan pada bayi tersebut, namun terdapat ibu bapa lain yang didakwa pernah menyuarakan kebimbangan mengenai insiden seperti kanak-kanak ditampar di pusat jagaan berkenaan.
Lebih menyayat hati, Lutfihadi berkata dia sebelum ini sudah membeli baju raya untuk dipakai oleh anak saudaranya itu pada Aidilfitri nanti.
“Kami sudah merancang untuk menyambut raya bersama, tetapi kini yang tinggal hanyalah pakaiannya,” katanya.
Jenazah bayi berkenaan dijangka dikebumikan di Terengganu bersebelahan kubur neneknya.
Dalam pada itu, video tangkapan ke atas suspek turut tular di aplikasi Thread.
The post Bayi 4 bulan meninggal dunia di pusat jagaan dalam kawasan hospital appeared first on The Reporter.

