Bayi 6 Bulan Maut di Taska, Dipercayai Lemas Akibat Tertiarap

LocalFamily & Parenting
17 Jul 2025 • 3:54 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang bayi lelaki yang dikenali sebagai Saif Fahri, 6 bulan, meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika berada di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Padang Temu, Melaka semalam.

Menurut laporan Kosmo!, dalam kejadian sekitar pukul 5 petang itu, mangsa yang difahamkan dibedung ketika tidur, ditemui dalam keadaan tertiarap di atas tilam dengan wajah kebiru-biruan oleh pengasuh yang bertugas secara bergilir.

image is not available

Foto: Malaysia Gazette

Menurut sumber, bayi berkenaan telah dikejarkan ke Klinik Utama Ujong Pasir oleh pihak taska sebaik sahaja menyedari kejadian tersebut.

“Pengasuh memeriksa keadaan bayi selepas hampir satu jam ditidurkan dan mendapati dia dalam keadaan tertiarap serta tidak sedarkan diri,” katanya.

Petugas perubatan di klinik tersebut segera memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) selama 30 minit sebelum bayi itu dirujuk ke Hospital Melaka menaiki ambulans.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Tambah sumber itu, setibanya di zon merah hospital, pasukan perubatan sekali lagi cuba menyelamatkan mangsa dengan memberikan CPR namun telah disahkan meninggal dunia.

“Hasil pemeriksaan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah pada tubuh mangsa dan laporan polis turut dibuat oleh pihak hospital,” ujarnya.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber: Kosmo! (Amran Ali)