Bayi 7 Bulan Maut, Kereta Dinaiki Terhumban Ke Tebing Lebuh Raya Dipenuhi Air

26 Dec 2023 • 7:43 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Bayi 7 Bulan Maut, Kereta Dinaiki Terhumban Ke Tebing Lebuh Raya Dipenuhi Air

Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan dilapor meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya terbabas akibat terlanggar lopak air.

Menurut Sinar Harian, kemalangan itu berlaku di Kilometer 372, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Bukit Besi pada Isnin.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 12.25 tengah hari di Hospital Sultanah Nur Zahirrah (HSNZ), Kuala Terengganu pada Selasa.

“Semasa kejadian, mangsa menaiki kenderaan Mitsubishi Pajero Sport yang dipandu Mohammad Taufik Babge, 34, bersama isteri, Hamizah Mustapha, 35, serta dua lagi penumpang lain sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Pengerang, Johor.

“Kemalangan berlaku apabila kenderaan yang dipandu Mohamad Taufik tiba-tiba hilang kawalan selepas terlanggar lopak air dan kemudian terbabas melanggar besi penghadang lebuh raya sebelum terhumban ke tebing lebuh raya yang dipenuhi air.

“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan orang awam yang melalui kawasan tersebut,” kata Superintenden Maizura Abdul Kadir, Ketua Polis Daerah Dungun.

Tambah Maizura lagi, akibat kemalangan itu seramai empat orang mangsa telah dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, bayi berkenaan yang dikejarkan ke HSNZ telah disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan.

“Mohammad Taufik dan Hamizah cedera di bahagian kaki dan dada manakala dua lagi penumpang yang berusia 20 tahun dan 11 tahun turut cedera di bahagian dada,” ujarnya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, ujar Maizura lagi.

Sumber: Sinar Harian