Bayi Bertali Pusat Ditinggal Di Rak Kasut

18 Nov 2022 • 2:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Menurut polis tiada sebarang pakaian atau nota ditinggalkan bersama bayi itu ketika ditemui. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Seorang bayi lelaki berusia dua minggu ditemui dengan hanya berlampin di rak kasut sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Saujana Impian, Kajang, Selangor malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.39 malam itu, kehadiran bayi tersebut disedari penghuninya selepas mendengar tangisan di depan rumah.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, tiada sebarang pakaian atau nota ditinggalkan bersama bayi itu ketika ditemui.

Menurutnya, penghuni rumah tersebut kemudian menguruskan keadaan bayi berkenaan, sebelum membuat laporan di Balai Polis Kajang.

image is not available
Rak kasut di mana bayi lelaki tersebut ditemui - Gambar ihsan PDRM

“Bayi tersebut dibawa ke Hospital Kajang bagi rawatan awal dan disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serta sihat. 

“Dia (bayi) dipercayai berusia sekitar dua minggu berdasarkan berat dan keadaan tali pusat. 

“Kini pihak hospital masih lagi menahannya di Wad Kanak-Kanak bagi tujuan pemantauan, sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Mohd Zaid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak lebih tujuh tahun, dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes bayi tersebut, boleh menghubungi mana-mana balai berdekatan.

“Boleh juga berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, iaitu Inspektor Mu’az Mazlan di talian 017-9788804 bagi membantu siasatan,” katanya. - Getaran, 18 November 2022