
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Melihat perkembangan bayi sejak ia berada dalam kandungan sehingga dilahirkan adalah satu perkara yang sentiasa dinantikan ibu bapa.
Mana tidaknya di usia satu hingga dua bulan kebiasaannya bayi akan tidur, namun semakin usia meningkat mereka sudah mula pandai memegang barang, melihat ke arah sesuatu perkara, mendengar bunyi dan pelbagai lagi.
Malah apabila mencapai ke usia enam bulan kebiasaannya ini adalah fasa yang sering dinantikan oleh ibu ayah kerana si comel akan mula diberi makan, memberi pengenalan terhadap rasa makanan yang semula jadi daripada sayuran, buah-buahan dan sebagainya.
Namun tak dinafikan ada juga para ibu ayah yang keliru apakah makanan yang patut diberikan kepada si bayi sebagai permulaan.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Ingatkan EBM Tumbuh Kulat, Rupa-rupanya Ini Penyebab Ada Tompok Putih Pada Susu Beku
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Pakar Pediatrik Jelaskan Kenapa Anak Gemar Makanan Yang Sama, Ibu Ayah Jangan Risau!
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Bantu Tidur Lena & Bina Sistem Imun, Ini Antara Kebaikan Beri Mentega Pada Bayi
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Betul Ke Ibu Kena Pantang Makan Kalau Menyusu Bayi? Ini Penjelasan Pakar Pediatrik
Makanan apa yang boleh diberikan kepada bayi yang sudah mencecah usia 6 bulan?
Perkara itu bagaimanapun ada dijawab oleh seorang Pegawai Perubatan Pediatrik iaitu Dr Redza Zainol di Threads mengenai makanan apakah yang boleh diberikan kepada bayi.
Menurutnya dia juga ada menerima mesej yang sama dari seorang ibu yang bertanya apakah cara untuk mula memberi bayi makan, adakah ia perlu dimulakan dengan buah-buahan, kemudian sayur dan selepas sebulan memperkenalkan bubur nasi kepada si comel.
Mulakan beri bayi bubur nasi sebanyak 2 sudu teh dan naikkan sedikit demi sedikit sehingga setengah cawan
Jelas Dr Redza, bayi yang berusia enam bulan sebenarnya sudah boleh diberi makan bubur nasi bersama dengan tiga jenis sayur dan juga buah pada setiap hari.
Selain itu, protein seperti ayam, daging lembu atau ikan yang telah dikisar halus juga wajib diberikan kepada bayi.
“Mulakan dengan bubur nasi sebanyak beberapa sudu teh dan naikkan sehingga menjadi setengah cawan untuk setiap hidangan. Ini untuk bayi berusia enam hingga lapan bulan.
“Bayi usia enam hingga lapan bulan boleh makan bubur nasi hingga tiga kali sehari,” jelasnya.
Boleh masukkan susu badan ke dalam makanan anak
Selain itu, para ibu juga boleh memasukkan susu badan atau terkenal dipanggil (Expressed Breast Milk/ EBM) ke dalam bubur nasi si comel.
Bukan hanya itu, ibu ayah juga boleh menambah sebanyak setengah sudu kecil minyak dan mentega dalam setiap hidangan utama anak pada setiap hari, jumlah maksimum adalah dua sudu kecil sehari.
Sediakan makanan tanpa gula, garam dan kicap
Ibu ayah juga digalakkan untuk menggunakan bahan perasa yang asli dan sediakan makanan si comel tanpa gula, garam dan kicap.
“Selain itu, tekstur makanan juga penting untuk kita ambil perhatian. Bayi usia enam hingga lapan bulan yang sihat lebih mudah menelan makanan yang separa pejal seperti puri.
“Anak yang usia sembilan hingga 11 bulan, sudah mula mengunyah dan boleh makan makanan yang dipotong kecil.”
Anak usia 12 bulan dah belajar gigit dan makanan pepejal boleh diberi
Manakala bayi berusia 12 bulan pula sudah mula belajar untuk menggigit serta boleh diberi makanan yang pejal seperti nasi.
Tambahnya lagi, United States Food and Drug Administration (USFDA) turut mencadangkan bayi yang berusia bawah satu tahun tidak sepatutnya diberikan makanan bersaiz lebih besar dari 0.5 cm. Ini kerana ia berisiko untuk si comel tercekik.
Katanya lagi cara-cara pemakanan bayi itu diambil terus dari Malaysian Dietary Guideline for Children and Adolescent yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
View on Threads
Bayi masih perlu menyusu walau dah mula makan
Memetik Hello Doktor ibu ayah perlu ingat di usia enam bulan, penyusuan susu ibu atau susu formula masih lagi menjadi sumber utama pemakanan si comel.
Pemberian makanan pepejal mahupun solid food merupakan makanan tambahan dan mereka masih lagi memerlukan susu.
Lihat reaksi bayi untuk setiap makanan yang diberi
Apabila mula memperkenalkan makanan baru kepada si manja cuba untuk ulang makanan yang sama selama beberapa hari sekurang-kurangnya tiga hari dan perhatikan reaksi atau tindak balas badan mereka kepada makanan tersebut.
Sebagai contoh segelintir bayi mungkin menunjukkan simptom reaksi alahan seperti cirit-birit, muntah, ruam, sembelit, sakit pada bahagian perut dan sebagainya. Ibu ayah disarankan berhenti memberikan anak makanan tersebut jika mereka menunjukkan alahan.
Dapatkan bantuan perubatan dengan segara sekiranya alahan berlanjutan atau semakin teruk.
Jika reaksi diberikan adalalah baik ia bermaksud makanan itu sesuai untuk bayi dan boleh diberikan lagi.
Antara makanan yang boleh diberi kepada si bayi adalah:
- Puri buah
- Puri sayuran
- Sup pekat
- Bubur nasi
- Bubur bijirin
- Sup sayur
