
BESUT – Polis sedang menyiasat penemuan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di belakang sebuah rumah di Kampung Alor Lintang, Kampung Raja, Besut di sini pada Ahad.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh berkata, kejadian itu terbongkar apabila siasatan mendapati bayi malang itu hasil daripada hubungan sumbang mahram remaja perempuan berusia 16 tahun dengan seorang ahli keluarganya.
Menurutnya, remaja tersebut dipercayai telah melahirkan bayi itu secara rahsia, tanpa diketahui oleh sesiapa.
"Sejurus selepas dilahirkan, bayi itu dilaporkan telah dibuang oleh suspek sebelum ditemui oleh salah seorang penghuni rumah di situ," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, polis telah menahan reman seorang lelaki sehingga tujuh hari bermula Isnin bagi membantu siasatan.
"Mahkamah membenarkan lelaki tersebut ditahan untuk siasatan menyeluruh berhubung kes itu.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan berkaitan dengan kesalahan membuang bayi, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.
"Siasatan turut dijalankan bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana perbuatan sumbang mahram, iaitu hubungan seks oleh individu yang tidak dibenarkan berkahwin oleh hukum agama.
"Seksyen ini membawa hukuman penjara yang sangat berat, iaitu tidak kurang dari enam tahun dan tidak lebih 20 tahun, serta sebatan," ujar beliau.
Beliau berkata, perbuatan membuang bayi ini adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan hukum agama serta jelas menafikan hak seorang bayi untuk hidup.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan maklumat palsu atau tidak benar berhubung kes tersebut.
"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan atau menyebar maklumat tidak tepat di media sosial berhubung kes tersebut," katanya.
Pada Ahad tular di media sosial penemuan seorang bayi dan difahamkan, bayi tersebut telah dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan dan tindakan lanjut.

