
SEMPORNA: Seorang bayi lelaki ditemui hidup, dipercayai dibuang di kawasan berumput di tepi jalan di Kampung Keramat, di sini, Jumaat.
Ketua Polis Daerah, Supt Mohd Sabri Zainol berkata, bayi yang dibungkus kain itu ditemui orang awam sekitar jam 1 tengah hari dan segera menghubungi polis.
Mohd Sabri berkata, bayi yang masih bertali pusat itu segera dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.
“Doktor mengesahkan bayi seberat 3.1kg itu tidak mempunyai kecederaan dan akan terus dipantau di hospital,” katanya, menambah kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, polis juga meminta kerjasama mereka yang mempunyai maklumat untuk membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan melalui hotline Ibu Pejabat Polis Semporna pada 089-782020 atau hubungi Pegawai Penyiasa Inspektor Mohammad Hafizudin Akram Ghafar Ismail pada 013-7557293.



