Bayi Lelaki Berusia 4 Bulan Meninggal Dunia Di Rumah Pengasuh

13 Apr 2023 • 8:38 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seorang bayi lelaki meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika berada di rumah pengasuhnya di di Taman Selayang Jaya, Batu Caves di sini, semalam. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika berada di rumah pengasuhnya di Taman Selayang Jaya, Batu Caves di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata bayi berkenaan telah dibawa ke Hospital Selayang sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada 11.53 pagi.

Beliau berkata hasil bedah siasat yang dijalankan pada 9 pagi tadi mengesahkan kematian mangsa berpunca daripada masalah jantung sejak lahir atau Congenital Heart Disease.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati bayi berkenaan tidak sedarkan diri semasa dikejutkan daripada tidur ketika dijaga pengasuhnya yang berusia 47 tahun kira-kira 11 pagi semalam.

“Pengasuh itu kemudian menghubungi ibu bayi berkenaan untuk memaklumkan mengenai kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Insp J. Winson Joseph menerusi talian 016-2335454 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 03-61262222. - Bernama