Bayi masih bernyawa dibuang dalam tong sampah

9 Mar 2026 • 8:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Bayi perempuan berkenaan ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian serta dibungkus menggunakan beg plastik. Gambar hiasan

JOHOR BAHRU - Seorang bayi perempuan yang baharu dilahirkan ditemukan dalam sebuah tong sampah di kawasan pangsapuri di Plentong, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian tersebut dilaporkan penduduk setempat kepada polis pada jam 8.45 pagi.

“Bayi perempuan berkenaan ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian serta dibungkus menggunakan beg plastik sebelum dimasukkan ke dalam tong sampah.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati bayi tersebut cukup sifat dan masih bernyawa.

"Keadaan bayi itu turut disahkan oleh pegawai perubatan di Hospital Sultan Ismail (HIS),” katanya satu dalam kenyataan.

Beliau berkata, bayi berkenaan sudah dibawa ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, polis kini menjalankan siasatan bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja meninggalkan kanak-kanak dengan niat hendak membuang.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nur Hanis Mohamad Nafipi 018-7718919 atau menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di talian 07-3864222 bagi membantu siasatan," ujarnya.

 

View Original Article