JOHOR BAHRU – Seorang bayi perempuan yang masih hidup ditemui ditinggalkan di kawasan parkir kenderaan hadapan sebuah surau di Taman Universiti, Skudai di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, bayi berkenaan ditemui seorang jemaah kira-kira jam 7.33 malam.
Menurutnya, bayi yang masih bertali pusat itu dibalut dengan tuala sebelum segera dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk pemeriksaan lanjut.
“Bayi berkenaan berada dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang atau menyembunyikan bayi dengan niat meninggalkannya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, polis kini giat mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nursyazwani Kamaruddin di talian 017-7849034 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di 07-5561222.
Terdahulu, video penemuan bayi itu tular di media sosial, sekali gus mencetuskan simpati dan kemarahan netizen.






