Bayi Telah Dilahirkan Selepas Menjalani Proses Persenyawaan Menggunakan Bantuan Robot Dan PlayStation

WorldTechnologyDigitalSpace
26 Apr 2023 • 6:50 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Rawatan IVF digunakan oleh pasangan yang sukar mendapatkan bayi sejak ia dicipta pada tahun 1978. Di Malaysia rawatan ini agak mahal dengan ia mencecah sekitar RM13,000. Ini adalah kerana terdapat banyak proses manual diperlukan untuk proses persenyawaan di luar tubuh. Menurut laporan MIT Technology Review, dua orang bayi telah berjaya dilahirkan menggunakan bantuan robot dan alat kawalan PlayStation 5.

image is not available

Overture Life se bah syarikat rintis dari Sepanyol berkata robot persenyawaan mereka telah berjaya digunakan oleh pasangan di Amerika Syarikat. Robot yang membantu persenyawaan dihantar ke New York dari Barcelona oleh Overture Life ke sebuah klinik. Robot ini kemudiannya digunakan untuk menyuntik sperma ke dalam sebuah ovum.

Yang menjadikan prosedur ini menarik ialah seorang juruteknik diperlukan untuk menghalakan jarum berisi sperma ke arah ovum. Ini dilakukan dengan alat kawalan DualSense PlayStation 5. Selepas itu robot menyuntik sperma ke dalam ovum yang disediakan dalam sebuah piring petri. Embrio yang terhasil kemudian menghasilkan sepasang bayi perempuan yang baru sahaja dilahirkan.

image is not available

Tujuan robot persenyawaan ini dibangunkan ialah untuk mengurangkan kos IVF yang mahal. Ia boleh menggantikan tugas embriologis manusia yang melakukan proses yang sama menggunakan tangan secara manual.

Sungguhpun robot berjaya membantu proses persenyawaan, proses tempelan embrio ke dalam rahim wanita masih lagi memerlukan kepakaran juruteknik manusia. Oleh itu proses automasi untuk IVF menggunakan robot sepenuhnya masih belum dicapai.

View Original Article