
GUA MUSANG – Seorang bayi lelaki dan warga emas antara 16 mangsa daripada dua keluarga yang diselamatkan bomba selepas terperangkap dalam banjir susulan hujan lebat di Kampung Kundur di sini tengah malam tadi.
Kesemua mangsa terdiri daripada 12 lelaki dewasa, dua perempuan dewasa, seorang lelaki warga emas dan seorang bayi lelaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.55 tengah malam.
Katanya, sepasukan anggota tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian sebelum mendapati dua rumah penduduk telah dinaiki air dan semua mangsa memerlukan pemindahan segera.
“Rumah pertama menempatkan lima mangsa termasuk seorang bayi lelaki manakala rumah kedua pula membabitkan 11 mangsa termasuk seorang lelaki warga emas.
“Ketika kejadian, semua mangsa berada di kawasan rumah masing-masing dan paras air sedang meningkat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Muhammad Azrul Izzham memberitahu, anggota bomba bertindak mengharung air dengan memakai jaket keselamatan bagi membawa keluar semua mangsa ke tempat selamat.
Katanya, kesemua mangsa berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan sebelum anggota dan jentera kembali ke Balai Bomba Gua Musang selepas operasi selesai. – KOSMO! ONLINE
The post Bayi, warga emas antara 16 mangsa banjir diselamatkan bomba appeared first on Kosmo Online.






