Bayu Somerset, jenama fesyen yang dikenali dengan corak terang dan rona ceria, dengan bangganya memperkenalkan koleksi Raya 2026 mereka, #somerSYOKraya26, sebuah perayaan warna, kreativiti dan keunikan diri.
Pelancaran koleksi ini diadakan pada Sabtu lalu, serentak dengan pembukaan butik terbaharu Bayu Somerset di Central i-City.

Untuk kempen #somerSYOKraya26, jenama ini masih mengangkat kain kapas sebagai fabrik utama kerana ia adalah ‘pelaris’ dan identiti yang membuatkan orang jatuh cinta kepadanya.
Dikenali sebagai fabrik yang bernafas, ringan dan menyerap peluh, kain kapas adalah pilihan ideal untuk pemakaian Raya yang panjang, daripada kunjungan keluarga, sesi bergambar, hinggalah ke jamuan petang.
Untuk koleksi ini, Bayu Somerset menampilkan lebih 50 corak eksklusif merangkumi lima siluet baharu, tujuh set keluarga dan rekaan mewah, semuanya direka untuk memberi pergerakan yang bebas tanpa mengorbankan gaya.
Walaupun berfokuskan keselesaan, koleksi ini kekal setia kepada DNA Bayu Somerset yang berani dan ekspresif. Corak batik moden, bunga-bungaan lembut dan susunan motif yang seimbang menjadikan setiap helaian itampil kemas dan elegan, sesuai untuk digayakan sepanjang hari.
Elemen seni turut diserap melalui tiga kolaborasi eksklusif bersama Arif Rafhan, Bunga dan Bintang serta Machino.

Setiap kolaborasi menampilkan interpretasi berbeza, daripada batik berwarna ceria, bunga-bungaan pastel yang feminin, hingga gabungan bunga Hana ikonik dalam palet warna hangat.
Kolaborasi bersama Mashico turut menampilkan empat rekaan kasut eksklusif dan empat gaya skarf, menawarkan pilihan versatil untuk Raya dan penggayaan harian.
“Bayu Somerset ialah penyatu harmoni. Walaupun siluet kami berakar daripada warisan budaya Malaysia, warna dan corak yang kami tampilkan adalah moden dan berani.
“Menerusi tiga kolaborasi ini, kami menggabungkan tradisi dengan seni kontemporari, menghasilkan koleksi yang meraikan warisan dan gaya masa kini,” ujar Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul.

Menambahkan lagi seri pelancaran, Anzalna Nasir tampil anggun dalam Inara Kurung dalam rona Cempaka Puteh daripada koleksi Bayu Somerset x Arif Rafhan.
Sementara Liza Hanim. bersama anak perempuannya berkongsi momen raya dalam set kebaya Agnes Kotabaru sedondon rona Murni Blue and Green, menyerlahkan tarikan mesra keluarga koleksi ini.

Bagi menangkap semangat Bayu Somerset, jenama ini turut memperkenalkan jingle rasmi pertama mereka yang menampilkan vokal Aisha Retno.
Dengan bait-bait lirik, “I wanna be bold, I wanna be loud,”lagu ini menyerlah falsafah Bayu Somerset sebagai teman harian untuk semua lapisan masyarakat, memberi keyakinan kepada individu pelbagai saiz, jantina dan usia untuk tampil berani dalam warna dan gaya.
“Sejak hari pertama, matlamat kami adalah untuk mencipta fesyen yang membina keyakinan untuk semua, tanpa mengira saiz, jantina atau usia. Menerusi #somerSYOKraya26, kami berharap semua orang dapat berasa bangga, bergaya dan selesa menjadi diri sendiri sambil menyambut Raya,” tambah Dania.

Koleksi Raya #somersSYOKraya26 ditawarkan dalam saiz XXS hingga 5XL dengan harga bermula daripada RM99, boleh didapati di semua outlet Bayu Somerset di seluruh negara serta secara dalam talian di www.bayusomerset.com. - Getaran, 10 Februari 2026


