SUNGAI PETANI – Bazar Ramadan Wisma Ria di sini menyasarkan kehadiran kira-kira 60,000 pengunjung sepanjang bulan puasa tahun ini, sekali gus menjadikannya antara destinasi tumpuan dengan pelbagai juadah ditawarkan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah berkata, bazar berkenaan melibatkan seramai 219 peniaga dengan keseluruhan 249 tapak niaga, menjadikannya antara bazar Ramadan terpanjang di Kedah.
"Ia merangkumi jarak kira-kira 900 meter dan setakat ini boleh dikategorikan sebagai bazar Ramadan terpanjang di negeri ini. Setiap tapak niaga disediakan khemah seragam bagi memastikan keselesaan peniaga dan kelancaran pergerakan pengunjung.
"Hujung minggu, bazar ini menerima kehadiran pengunjung paling ramai sehingga boleh mencecah 2,000 hingga 2,500 orang setiap hari dan menyasarkan kira-kira 60,000 pengunjung sepanjang Ramadan ini,” katanya.
**media[3456306]**
Ujar beliau, kemudahan surau bergerak turut disediakan hasil inisiatif sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memudahkan peniaga dan pengunjung menunaikan solat.
Katanya, penyertaan peniaga yang tinggi dan penyediaan kemudahan asas yang lengkap dijangka mampu menarik kehadiran orang ramai sepanjang bulan Ramadan.
Tambah beliau, susun atur tapak niaga yang memanjang dan tersusun turut membantu mewujudkan persekitaran bazar yang lebih selamat serta sistematik.
**media[3456307]**
Salah seorang pengunjung, Rafidah Hassan, 49, dari Selangor mengakui rambang mata melihat pelbagai juadah berbuka puasa yang boleh didapati di bazar berkenaan.
"Bermacam-macam ada. Setiap kali balik kampung pasti sampai ke sini. Anak-anak cukup suka, harga pun boleh tahan dan ada banyak pilihan," katanya.
Seorang lagi pengunjung, Sabri Ahmad, 26, berkata, dia singgah hampir setiap hari ke bazar berkenaan untuk membeli juadah berbuka puasa bersama rakan-rakan sekerja.
"Makanan tempatan dan luar semuanya ada dijual di sini. Tidak perlu ke mana-mana kerana di sini semuanya ada, sekali gus memudahkan orang yang bekerja," katanya.


