
SHAH ALAM, 25 MEI: Seramai 81 usahawan wanita diberi peluang memasarkan produk dan inovasi masing-masing menerusi Bazar Usahanita Digital yang berlangsung di pusat beli-belah Central i-City, di sini hari ini.
EXCO pembangunan wanita berkata program anjuran Wanita Berdaya Selangor (WBS) bertujuan memperkasa wanita dalam bidang keusahawanan melalui pendekatan ekonomi digital.

“Bazar Usahanita Digital memberi peluang kepada usahawan wanita mempamerkan produk dan inovasi kreatif mereka secara langsung kepada pengunjung.
“Program ini turut menyediakan sesi bimbingan bersama pakar industri dalam bidang pemasaran digital serta pembangunan perniagaan,” kata Anfaal Saari selepas merasmikan program berkenaan.
Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron dan Ketua Pegawai Eksekutif WBS Siti Faridah Samad.

Anfaal menjelaskan, program berkenaan menerima 226 permohonan daripada usahawan wanita dan 203 peserta terpilih menyertai Fasa 1 iaitu bengkel latihan asas yang diadakan bulan lalu.
Seterusnya, 120 peserta disaring ke Fasa 2 yang memberi pendedahan intensif tentang topik seperti rekaan grafik, penjenamaan, pemasaran digital dan pembangunan laman sesawang.
Kini di Fasa 3, Anfaal memberitahu hanya 50 daripada 81 peserta Bazar Usahanita Digital yang terbaik akan dipilih ke peringkat akhir.

“Kita akan menobatkan 10 Ikon Usahanita Selangor yang bakal menerima geran padanan perniagaan, lawatan industri dan sijil penghargaan,” ujar Anfaal.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor, Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah), Yayasan Peneraju, dan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

The post Bazar Usahanita Digital: 81 peserta terima bimbingan, medan pasar produk dan inovasi appeared first on Selangorkini.
