
ALOR SETAR: Bina Darulaman Berhad (BDB) kembali mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM5.06 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, berbanding kerugian RM11.82 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan momentum pemulihan kewangan yang semakin positif.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Che Abdul Khalid Md Din, berkata peningkatan sebanyak RM16.88 juta itu disokong terutamanya oleh pemulihan segmen Pembangunan Hartanah, pengurangan kerugian segmen Kejuruteraan dan Pembinaan serta penurunan perbelanjaan operasi Kumpulan.
Menurut beliau, keuntungan selepas cukai turut mencatatkan pemulihan positif sebanyak RM3.30 juta berbanding kerugian RM11.82 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, meskipun hasil Kumpulan menurun kepada RM185.65 juta daripada RM278.95 juta susulan hasil pembinaan yang lebih rendah.
“Bagaimanapun, keuntungan kasar meningkat 88.8% kepada RM28.39 juta, dengan margin keuntungan kasar bertambah baik kepada 15.3% berbanding 5.4%, manakala perbelanjaan operasi berjaya dikurangkan sebanyak 17.4% kepada RM24.16 juta.
“Pemulihan segmen hartanah, pengurangan perbelanjaan operasi serta kerugian pembinaan yang lebih rendah telah menjadi pemangkin kepada kejayaan BDB kembali mencatatkan keuntungan meskipun hasil Kumpulan menurun.
“Fokus BDB kini adalah untuk mengekalkan momentum positif ini menerusi pelaksanaan projek yang berdisiplin, pengurusan kos dan modal kerja yang cekap serta peningkatan jualan dan kutipan bayaran hartanah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, BDB turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM855,000 berbanding kerugian RM6.42 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya. Pencapaian ini disokong oleh peningkatan keuntungan kasar serta pengurusan perbelanjaan operasi yang lebih berkesan.
Mengulas prestasi segmen perniagaan, Che Abdul Khalid berkata, segmen Pembangunan Hartanah muncul sebagai antara pemacu utama pemulihan kewangan BDB apabila mencatatkan hasil RM54.35 juta dan keuntungan segmen RM4.10 juta, berbanding kerugian RM8.25 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu disokong oleh pengiktirafan hasil jualan hartanah yang lebih tinggi, kemajuan projek pembangunan serta prestasi jualan hartanah di Axis.
Tambah beliau, segmen Pembinaan Jalan Raya dan Kuari pula terus menjadi penyumbang keuntungan utama dengan merekodkan hasil RM89.46 juta dan keuntungan segmen RM2.96 juta, disokong oleh aktiviti pembinaan jalan raya serta operasi kuari, meskipun berdepan sumbangan kerja penurapan jalan yang lebih rendah dan margin kontrak yang lebih kecil.
Segmen Kejuruteraan dan Pembinaan pula berjaya mengurangkan kerugian kepada RM1.73 juta berbanding RM3.42 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, hasil inisiatif penjimatan kos, pelarasan kos projek NRW Perlis serta peningkatan kecekapan pengurusan dan pelaksanaan projek.
“Segmen Leisure pula mencatatkan peningkatan hasil kepada RM5.42 juta berbanding RM4.57 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini antaranya disumbangkan oleh pengendalian secara langsung Fantasia Aquapark, meskipun segmen ini masih merekodkan kerugian sebanyak RM1.34 juta berikutan peningkatan kos operasi dan penutupan sementara Classic Café,” ujarnya.
Che Abdul Khalid berkata, BDB akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan prestasi operasi, pelaksanaan projek secara berkesan, peningkatan jualan, kutipan hartanah serta kawalan rapi terhadap kos operasi dan modal kerja bagi memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan.
Ujarnya lagi, dalam segmen Pembinaan Jalan Raya dan Kuari, kontrak Penyelenggaraan Jalan Negeri Kedah bernilai RM251.65 juta untuk tempoh 60 bulan yang dilaksanakan oleh BDB Infra Sdn. Bhd. dijangka terus menyumbang kepada kestabilan dan kesinambungan hasil Kumpulan.
Bagi segmen Kejuruteraan dan Pembinaan, tumpuan diberikan kepada penyempurnaan projek sedia ada, termasuk baki kerja Loji Rawatan Air Pelubang serta projek Integrated Business Centre (IBC) bernilai RM11.5 juta di Kedah Rubber City, Padang Terap.
“Bagi Pembangunan Hartanah, keutamaan adalah untuk meningkatkan jualan dan kutipan bayaran daripada pelanggan serta mempercepat kemajuan pembangunan di Bandar Darulaman, Darulaman Saujana dan Aman Nusa, di samping memaksimumkan nilai inventori sedia ada.
“Segmen Leisure pula akan terus mempergiat aktiviti komersial dan mengoptimumkan penggunaan aset di destinasi utama termasuk Darulaman Park, Darulaman Golf & Country Club, Fantasia Aquapark, Darulaman Sanctuary dan The LAB.
“Secara keseluruhan, BDB komited untuk memperkukuh disiplin kewangan, meningkatkan kecekapan operasi dan mengoptimumkan aset bagi mengekalkan momentum pemulihan keuntungan serta memperkukuh aliran tunai operasi Kumpulan,” katanya.
The post BDB kembali catat untung, raih PBT RM5.06 juta bagi sembilan bulan pertama 2026 appeared first on Utusan Malaysia.





