ALOR SETAR - Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, BDB Infra Sdn Bhd memperoleh kontrak penyelenggaraan jalan-jalan negeri di Kedah bernilai RM251.65 juta daripada kerajaan negeri.
Kontrak bagi tempoh 60 bulan atau lima tahun itu melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Zon 1 yang merangkumi daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap dan Pokok Sena.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Che Abdul Khalid Md Din berkata, penganugerahan kontrak tersebut membuktikan keyakinan berterusan kerajaan negeri terhadap keupayaan syarikat itu dalam melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur.
“Penganugerahan ini merupakan pengiktirafan kepada Kumpulan BDB dan BDB Infra atas pengalaman serta rekod prestasi kami dalam sektor penyelenggaraan dan pembinaan jalan raya.
“Kami komited memastikan projek ini dilaksanakan mengikut spesifikasi dan standard ditetapkan demi keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya di Kedah,” katanya pada Rabu.
Menurut beliau, kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada prestasi kewangan kumpulan bagi tempoh 2026 hingga 2031, selain mengukuhkan keyakinan pemegang taruh dan pelabur terhadap prospek pertumbuhan syarikat.
Tambahnya, projek berkenaan turut dijangka memberi impak kepada pembangunan infrastruktur negeri serta merangsang aktiviti ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan dan penglibatan rantaian bekalan tempatan.
BDB Infra merupakan kontraktor Gred G7 yang mempunyai pengalaman lebih 50 tahun dalam pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan jalan raya serta operasi kuari di utara tanah air.
Untuk rekod, sejak 2015, BDB Infra telah menerima kontrak penyelenggaraan jalan secara berterusan daripada Kerajaan Negeri Kedah melibatkan beberapa daerah di negeri ini.


