
KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan melaksanakan inisiatif Bekerja Dari Rumah (BDR) ternyata membuahkan hasil yang signifikan apabila berjaya menjimatkan RM4.22 juta subsidi petrol RON95, atau bersamaan dengan 2.14 juta liter setakat ini.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mendedahkan, data impak positif tersebut direkodkan sehingga 25 Mei, sejak rintis inisiatif berkenaan mula digerakkan pada 15 April lalu.
Langkah proaktif ini sekali gus membantu membebat tekanan serta bebanan kewangan yang ditanggung kerajaan ekoran krisis bekalan global yang sedang berlaku.
Bagaimanapun, Shamsul Azri menitipkan pesanan sinis tetapi tegas agar kemudahan tersebut tidak disalah guna oleh penjawat awam yang terlibat.
"Perlu diingatkan sekali lagi, BDR ini bukan bermaksud 'Baring Duduk Rehat'. Ia bertujuan bagi mengawal penggunaan petrol, maka kerajaan luluskan BDR bermula 15 April lepas.
"Walaupun tekanan subsidi (meningkat) mendadak, kerajaan akan memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat seterusnya merasmikan Majlis Apresiasi “Encouraging, Responsibility, Accountability, Trustworthiness” (ERAT) di sini, malam tadi.
Sebagai rekod, keberkesanan dasar ini sudah mula kelihatan di peringkat awal lagi. Pada 30 April lepas, media melaporkan kerajaan berjaya menjimatkan RM1.9 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 979,632 liter hanya dalam tempoh 10 hari pelaksanaan BDR yang melibatkan 200,000 penjawat awam.
Bagi memastikan momentum keberkesanan BDR ini berterusan tanpa menggadaikan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pasaran sasar iaitu rakyat, KSN menuntut komitmen tidak berbelah bahagi daripada kepimpinan agensi.
Beliau menegaskan, setiap ketua jabatan perlu memimpin berpandukan konsep T.E.G.A.S iaitu tindakan pantas, empati, gagasan jelas, adaptif dan strategi efektif.
"Saya ingin ingatkan agar konsep TEGAS ini diamalkan oleh setiap ketua jabatan dalam kita berhadapan dengan krisis ketika ini," tegas beliau.
Bukan itu sahaja, Shamsul Azri turut menyuntik peringatan moral yang mendalam agar seluruh jentera pentadbiran awam kembali menghayati nilai M.A.L.A.Y.S.I.A (mesra, adil, luhur, amanah, yakin, setia, islah dan arif) ketika berurusan dengan masyarakat.
Beliau membidas sikap pilih kasih yang kadangkala masih wujud dalam ekosistem penyampaian perkhidmatan awam.
"Jangan bezakan layanan dengan melihat kepada jawatan. Kalau Datuk-Datuk datang, kita senyum berseri, tapi kalau tukang cuci datang berurusan, adakah kita layan sama dengan kita layan Datuk-Datuk?" soalnya.
Mengulas lanjut, beliau mengingatkan bahawa status penjawat awam bukanlah tiket untuk bermegah-megah, sebaliknya ia adalah sebuah akauntabiliti yang berat.
Beliau menegaskan bahawa penjawat awam perlu memahami bahawa tanggungjawab yang digalas adalah satu amanah untuk dilaksanakan sebaik mungkin, bukan untuk dibangga-banggakan.
Integriti Benteng Kredibiliti AgensiSenda kelon dan peringatan KSN itu turut senada dengan pandangan yang diutarakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar.
Terdahulu, Ismail mengakui peranan mengemudi sesebuah jabatan pada waktu mencabar ini menuntut kekuatan integriti yang luar biasa daripada seorang ketua.
“Sebarang kesalahan yang dibiarkan tanpa tindakan bukan sahaja menjejaskan jabatan, malah turut mencalar kredibiliti agensi penguatkuasaan secara keseluruhan.
“Sehubungan itu, peranan ketua jabatan amat kritikal dan mereka perlu sentiasa mengutamakan integriti dalam menterjemahkan amanah yang dipikul, selain memastikan keadilan ditegakkan segera tanpa sebarang kelengahan,” katanya. - 26 Mei, 2026
The post BDR bukan ‘baring duduk rehat’, inisiatif berjaya selamatkan RM4.22 juta subsidi petrol: KSN appeared first on Scoop.



