BDR isyarat krisis sudah tiba

LocalBusiness & Finance
3 Apr 2026 • 8:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
BDR muncul sebagai pilihan paling cepat untuk mengurangkan pergerakan, sekali gus menjimatkan penggunaan bahan api tanpa menjejaskan operasi asas negara. Foto hiasan

KEPUTUSAN kerajaan melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) bermula 15 April ini tidak wajar dilihat sebagai polisi biasa.

Dalam keadaan harga bahan api melonjak dan kos sara hidup menekan, langkah ini lebih menyerupai tindak balas segera bagi meredakan tekanan yang semakin terasa di peringkat akar umbi.

Hakikatnya, apabila kerajaan sendiri perlu menanggung beban subsidi tenaga yang besar setiap bulan, ruang untuk mengekalkan cara kerja lama semakin sempit.

BDR muncul sebagai pilihan paling cepat untuk mengurangkan pergerakan, sekali gus menjimatkan penggunaan bahan api tanpa menjejaskan operasi asas negara.

Dari sudut rakyat, kesannya nyata. Perbelanjaan harian boleh dikurangkan, masa di jalan raya dapat dijimatkan, dan tekanan perjalanan pergi balik kerja dapat dielakkan. Dalam situasi ekonomi yang tidak menentu, penjimatan kecil seperti ini membawa makna besar.

Namun, tidak semua manfaat datang tanpa harga. Pengalaman lalu menunjukkan BDR mudah mengaburkan sempadan waktu kerja. Ada yang bekerja lebih panjang tanpa disedari, terdedah kepada keletihan digital dan tekanan berpanjangan.

Tanpa garis panduan yang jelas, rumah boleh bertukar menjadi pejabat tanpa waktu tutup.

Selain itu, kekangan interaksi bersemuka turut memberi kesan kepada kerja berpasukan dan kelajuan membuat keputusan. Dalam sektor tertentu, komunikasi maya tidak mampu menggantikan sepenuhnya perbincangan fizikal.

Pada masa sama, isu keselamatan data juga menuntut perhatian lebih serius apabila operasi banyak bergantung kepada rangkaian dalam talian.

Apa yang dilakukan Malaysia bukan langkah terpencil. Negara lain yang berdepan gangguan bekalan tenaga akibat konflik di Asia Barat turut mengambil pendekatan serupa bagi mengurangkan penggunaan tenaga.

Justeru, BDR tidak boleh dilihat sebagai penyelesaian mutlak. Pendekatan lebih seimbang seperti model hibrid wajar diperkasa supaya keperluan fleksibiliti dan keberkesanan operasi dapat berjalan seiring.

Akhirnya, pelaksanaan BDR ini memberi isyarat jelas bahawa tekanan ekonomi global kini bukan lagi isu jauh di luar sempadan, tetapi sudah memberi kesan langsung kepada cara kita bekerja dan menjalani kehidupan seharian.