BDS tuntut penjelasan terperinci projek Network School di Forest City

LocalPolitics
14 Jul 2026 • 4:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: BDS tuntut penjelasan terperinci projek Network School di Forest City
Kenyataan media BDS Malaysia pada Selasa.

SHAH ALAM - Gerakan Boycott, Divestment, Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) menggesa kementerian dan agensi kerajaan berkaitan memberikan penjelasan terperinci mengenai pelabur dan pihak yang terlibat dalam projek Network School di Forest City, Johor susulan dakwaan mempunyai kaitan dengan Israel.

Menurut BDS Malaysia, penjelasan itu juga perlu merangkumi maklumat mengenai rakan kongsi, peserta, proses pengambilan dan sebarang hubungan secara langsung atau tidak langsung dengan individu, entiti atau institusi Israel.

Menurutnya, keyakinan rakyat terhadap perkara berkenaan hanya dapat dipertahankan melalui keterbukaan dan akauntabiliti pihak berkuasa.

"Malaysia telah lama mengekalkan pendirian berprinsip dalam menyokong rakyat Palestin, sekali gus menentang pendudukan, aparteid dan genosid Israel.

"Sebarang dakwaan yang mencadangkan kemungkinan kemasukan, pemberian kemudahan atau normalisasi kepentingan berkaitan Israel di Malaysia wajar diteliti dengan berhati-hati demi kepentingan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Network School merupakan komuniti kediaman dan ruang kerja bersama persendirian yang dilancarkan pada 2024 oleh pelabur teknologi, Balaji Srinivasan.

Bagaimanapun, premis itu mula menjadi perhatian ketika tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor susulan dakwaan di media sosial bahawa warga Israel yang menggunakan pasport kewarganegaraan kedua merupakan antara individu yang tinggal di komuniti tersebut.

Justeru, BDS Malaysia menggesa semua ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik menyokong siasatan menyeluruh dan telus terhadap perkara berkenaan.

Tegasnya, pendirian teguh Malaysia dalam menyokong rakyat Palestin perlu diterjemahkan bukan sahaja melalui kata-kata, tetapi juga menerusi dasar, institusi dan penolakan terhadap sebarang usaha normalisasi dengan Israel.

“Perjuangan untuk keadilan Palestin memerlukan tindakan tegas dalam negara selain solidariti di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Dalam pada itu, BDS Malaysia menyambut baik komitmen Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyiasat sendiri kebimbangan yang dibangkitkan berhubung projek Network School.

Gerakan itu turut menghargai tindakan pantas beliau dalam memberikan respons terhadap kebimbangan awam, selain mengakui perkara berkenaan wajar mendapat perhatian Parlimen.

Menurut BDS Malaysia, tindakan tersebut mencerminkan peranan penting wakil rakyat dalam memastikan ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan awam terus terpelihara.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved