Beautiful Malaysia 2026 perkenal semula seni telepuk, warisan tradisi kian bersinar jadi tarikan pelancong

LocalTravel
4 May 2026 • 11:12 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Beautiful Malaysia 2026 perkenal semula seni telepuk, warisan tradisi kian bersinar jadi tarikan pelancong

KALAU bercakap tentang Malaysia, sukar untuk kita pisahkan negara ini daripada kepelbagaian budaya yang hidup harmoni dalam satu identiti.

Dari warna-warni busana tradisional, aroma makanan yang membuka selera, sehinggalah ke seni dan gaya hidup masyarakatnya, semuanya ada cerita tersendiri yang menjadikan Malaysia begitu istimewa.

Semangat itulah yang diangkat menerusi Program Beautiful Malaysia 2026 anjuran JK Prestige dan FM Group dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Lebih daripada sekadar acara, ia hadir sebagai satu ruang pengalaman yang membawa pengunjung 'melihat, merasa dan memahami' Malaysia dalam bentuk yang lebih dekat dan segar.

Menurut penganjur, Jonathan, edisi tahun ini mengangkat tema Perpaduan Warisan yang menyatukan pelbagai elemen budaya negara, daripada busana tradisional, makanan, seni kraf hinggalah gaya hidup masyarakat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian.

“Beautiful Malaysia 2026 bukan sekadar acara, tetapi sebuah ‘mini Malaysia experience’ dalam satu lokasi.

“Para pelancong dapat merasai kepelbagaian budaya negara dalam masa yang singkat sebelum mereka meneroka destinasi sebenar di seluruh Malaysia,” jelasnya.

Pendekatan ini dilihat selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026, apabila program ini berfungsi sebagai 'gateway experience' kepada pelancong tempatan dan antarabangsa untuk mengenali identiti Malaysia dengan lebih dekat dan santai.

Berbeza dengan pameran konvensional, Beautiful Malaysia 2026 mengetengahkan konsep immersive experience yang membolehkan pengunjung benar-benar ‘masuk’ ke dalam dunia budaya Malaysia.

Antara tarikan utama termasuk pertunjukan busana tradisional pelbagai kaum yang mencuri perhatian ramai. Setiap persembahan bukan sahaja mempamerkan keindahan pakaian, malah turut menceritakan identiti dan sejarah di sebaliknya.

Image from: Beautiful Malaysia 2026 perkenal semula seni telepuk, warisan tradisi kian bersinar jadi tarikan pelancong

Keharmonian Malaysia

Selain itu, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan tarian dan nyanyian budaya Melayu, Cina, India serta Sabah dan Sarawak yang menggambarkan keharmonian Malaysia Madani.

Tidak ketinggalan, zon makanan turut menjadi tumpuan apabila pelbagai citarasa tempatan diperkenalkan, menjadikan pengalaman pengunjung lebih lengkap. Pameran seni kraf tempatan pula memberi peluang kepada pengunjung mengenali kehalusan seni warisan negara.

“Pendekatan rumah terbuka turut diterapkan, menjadikan semua budaya diraikan dalam satu ruang yang sama.

“Ini memberi pengalaman harmoni yang unik kepada pengunjung,” kata Jonathan.

Program tersebut turut mendapat sokongan rakan strategik termasuk Kopihut, lokasi penganjuran di Hextar World Empire City, serta kerjasama QM Model House dan DMPAA.

Salah satu segmen yang mencuri perhatian dalam Beautiful Malaysia 2026 ialah pameran warisan telepuk, seni tradisional yang semakin jarang dikenali generasi hari ini.

Menurut Farel Mikhail, wakil penganjur, warisan ini bukan sekadar dipamerkan, tetapi dihidupkan semula melalui pendekatan lebih dekat dengan pengunjung.

“Inisiatif ini bukan sahaja menarik minat pelancong, tetapi turut berperanan dalam pemuliharaan seni tradisional agar tidak pupus ditelan zaman,” katanya.

Antara pengisian menarik termasuk bengkel hands-on selama tiga hari, demonstrasi teknik asal serta sesi interaksi bersama penggiat seni warisan.

Pendekatan ini memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri proses di sebalik seni telepuk yang halus dan penuh nilai estetika.

Mengangkat pelancongan

Sepanjang lima hari penganjuran, program itu berjaya menarik ratusan pengunjung daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar institusi pendidikan seperti Kolej Vokasional, penggiat seni serta pelancong antarabangsa.

“Kepelbagaian ini membuktikan bahawa program berasaskan budaya mampu menjadi produk pelancongan inklusif yang menarik minat semua lapisan masyarakat.

“Apa yang penting, program ini bukan sekadar mempamerkan budaya, tetapi menjenamakan semula warisan agar relevan dengan generasi muda,” kata Farel.

Image from: Beautiful Malaysia 2026 perkenal semula seni telepuk, warisan tradisi kian bersinar jadi tarikan pelancong

Beliau turut menambah bahawa penglibatan pelajar dan institusi pendidikan penting bagi memastikan kesinambungan seni tradisional seperti Telepuk terus hidup dan tidak dilupakan.

“Warisan seperti seni telepuk perlu diberi nafas baharu. Dengan penglibatan pelajar, kita bukan sahaja mempromosikan budaya kepada pelancong, tetapi juga memastikan kelangsungannya untuk masa depan,” tambahnya.

Melalui gabungan elemen budaya, pendidikan dan pengalaman interaktif, Beautiful Malaysia 2026 dilihat sebagai platform yang mampu mengangkat pelancongan berasaskan budaya ke tahap lebih tinggi.

View Original Article