Bebas Atau Bela Diri? Nasib Syed Saddiq Diketahui Esok

LocalPolitics
27 Oct 2022 • 11:29 AM MYT
Oh! Media
Oh! Media

Made in Malaysia by Malaysian.

image is not available

Nasib penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas lebih setahun didakwa atas empat pertuduhan bakal diketahui esok.

Memetik laporan daripada Sinar Harian, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid akan memutuskan sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie atau sebaliknya.

image is not available
Syed Saddiq

Mahkamah akan meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan, menyemak eksibit kes serta mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan terhadap Syed Saddiq yang berdepan dengan empat pertuduhan iaitu subahat, pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu dituduh bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rafiq Hakim Razali untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan kutipan derma bernilai RM1.12 juta.

image is not available
Rafiq Hakim Razali

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang berjumlah RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Manakala bagi dua pertuduhan lain, Syed Saddiq didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang berjumlah RM50,000 dalam akaun Maybank miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Jika mahkamah mendapati pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie, Syed Saddiq akan diperintah untuk membela diri.

Namun, jika keadaan sebaliknya, beliau akan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan.

Kredit: Sinar Harian

+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh! Media