
Beberapa Kawasan Di Gaza Dilapor Dilanda Banjir
Beberapa kawasan di Gaza dilapor dilanda banjir selepas hujan lebat musim sejuk yang menghanyutkan banyak khemah penduduk.
Memetik laporan The Guardian, Ketua Agensi PBB di Palestin menyifatkan situasi yang dihadapi penduduk terutamanya di kawasan pelarian ketika ini sangat buruk.
Selain itu, penduduk-penduduk yang terjejas dengan konflik turut berdepan dengan masalah kekurangan bekalan makanan, penyakit berjangkit dan pelbagai lagi.
Malah, sistem kesihatan di Gaza juga dilapor hampir lumpuh serta kekurangan bekalan ubat-ubatan.
Beberapa orang awam yang ditemui turut berkongsi keadaan yang terpaksa ditempuhi mereka setiap hari buat masa ini.
“Air hujan meresap masuk jadi kami tidak boleh tidur. Kami cuba cari penutup seperti kain nilon tetapi tidak ada. Jadi, kami terpaksa menggunakan batu dan pasir untuk menghalang air” kata Ameen Edwan kepada AFP.
Dia dan keluarganya ketika ini berlindung dibawah khemah plastik di kawasan lapang berdekatan Hospital al-Aqsa.
Katanya lagi, ribuan penduduk Gaza yang terkorban sejak konflik meletus juga ditempatkan di kawasan terbuka hospital itu.
Sementara itu, di kem khemah di Rafah pula, kawasan penempatan sementara yang dibina di kawasan berpasir turut berdepan dengan masalah timbunan sampah sarap.
Orang awam sedaya upaya membawa baldi yang diisi dengan pasir bagi menutup lopak air di dalam dan luar khemah plastik mereka.
Penduduk hanya menggunakan plastik lutsinar untuk berlindung
Selain itu, ramai keluarga di kem itu dilapor tidak memiliki khemah yang sempurna untuk berdepan dengan musim hujan ini.
Ada yang terpaksa menggunakan apa sahaja yang ada seperti kain atau plastik nipis untuk dijadikan khemah.
Namun begitu, khemah-khemah yang dibina ini hanya cukup sekadar untuk memastikan barang keperluan harian tidak basah, bukannya diri sendiri.
Khemah-khemah juga tidak mempunyai pelapik di bahagian dalam, jadi mereka terpaksa menerima hakikat terpaksa bermalam di atas pasir yang basah.
“Khemah koyak dan air menimpa di atas kami. Kami basah kuyup.
“Kami cuba sedaya upaya untuk melindungi diri kami supaya air tidak dapat memasuki khemah, tetapi gagal.
“Plastik ini tidak mampu memayungi mereka yang berlindung di bawahnya,” kata Ramadan Mohadad, penghuni kem berkenaan.
Tinjaun yang dibuat kemudian turut menemui banyak kawasan lopak air di kawasan kem tersebut.
Sumber: The Guardian
The post Beberapa Kawasan Di Gaza Dilapor Dilanda Banjir appeared first on Siakap Keli.

