
ISTANBUL, 20 JULAI: Beberapa lokasi di bandar Bushehr, barat daya Iran diserang pada pagi Isnin, manakala satu letupan kuat turut kedengaran di Isfahan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Agensi Berita Mehr.
Gabenor Bushehr berkata skala dan kesan serangan berkenaan masih dalam siasatan.
Sementara itu, Mehr melaporkan satu letupan kedengaran di bandar Isfahan, namun punca serta lokasi sebenar kejadian masih belum dikenal pasti.
Perkembangan itu berlaku selepas penyiar awam Israel, KAN, pada Ahad melaporkan bahawa Amerika Syarikat (AS) memaklumkan kepada Israel mengenai rancangannya untuk memperhebat kempen ketenteraan terhadap Iran dalam beberapa hari akan datang.
AS meningkatkan serangan terhadap Iran sejak beberapa hari kebelakangan ini, manakala Tehran membalas dengan menyasarkan kemudahan dan pangkalan di beberapa negara serantau yang didakwanya digunakan oleh tentera AS.
Serangan antara kedua-dua negara itu berlaku meskipun mereka menandatangani memorandum persefahaman dengan pengantaraan Pakistan pada Jun bagi menamatkan perang dan mencapai perjanjian damai berkekalan.




