Maybank memaklumkan bahawa penyelenggaraan sistem secara berkala akan dijalankan pada Sabtu, 19 Julai 2025 bermula jam 12:00 tengah malam hingga 8:00 pagi. Penyelenggaraan ini bertujuan untuk memastikan sistem perbankan atas talian terus beroperasi dengan lancar dan selamat bagi kemudahan pengguna.

Sepanjang tempoh penyelenggaraan yang dijadualkan, beberapa perkhidmatan perbankan atas talian akan mengalami gangguan sementara. Perkhidmatan yang terlibat termasuk DuitNow Transfer, DuitNow Request, DuitNow QR, JomPay, Interbank GIRO, FPX, serta Debit Mandate. Perkhidmatan ini tidak akan dapat diakses melalui laman sesawang Maybank2u, aplikasi MAE, serta aplikasi dan laman web Maybank2u Biz. Selain itu, mesin ATM juga turut terlibat dalam gangguan sementara ini.
Maybank menasihatkan orang ramai agar menyelesaikan semua transaksi penting lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa tempoh gangguan perkhidmatan yang dijadualkan. Orang ramai turut digalakkan untuk merancang urusan perbankan masing-masing sebelum waktu penyelenggaraan bermula bagi memastikan kelancaran transaksi.



