Bedah Siasat Bongkar Punca Sebenar, Wanita Didakwa Bunuh Anak Tiri

16 Jun 2026 • 1:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bedah Siasat Bongkar Punca Sebenar, Wanita Didakwa Bunuh Anak Tiri

KUALA LUMPUR - Bedah siasat ke atas mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia empat akhirnya membongkar kemungkinan dia adalah mangsa bunuh.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kes terbabit pada mulanya diisytiharkan sebagai mati mengejut, selepas siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan fizikal pada tubuh mangsa.

Menurut beliau, bedah siasat pada 3 Jun lalu bagaimanapun menemukan kesan kecederaan akibat objek tumpul (blunt force trauma) pada bahagian dada, yang disahkan sebagai punca kematian.

“Ia menyebabkan kes ini diklasifikasikan semula sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya hari ini.

Jelas Ab Rahaman, polis bertindak menahan tiga warga asing terdiri daripada ibu tiri mangsa berusia 23 tahun, bapa kandung mangsa, 22, dan bapa saudara mangsa, 23.

“Kesemua mereka ditahan berasingan di sekitar Johor Bahru 3 Jun lalu dan semalam, suspek wanita telah dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan membunuh anak tirinya di sebuah rumah di Taman Perling awal bulan ini,” katanya.

Beliau berkata, arahan untuk mendakwa suspek wanita di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibuat pihak pendakwaan, selepas siasatan lengkap selesai dijalankan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor. 

“Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi,” katanya. 

Difahamkan, kesemua suspek tidak memiliki rekod jenayah dan saringan air kencing turut didapati negatif. 

“Sebaik ditahan, mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru dan dan permohonan reman ke atas mereka dibenarkan bermula 3 hingga 17 Jun,” katanya. 

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, turut dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Sementara itu tambah Ab Rahaman, kedua-dua suspek lelaki dibebaskan dengan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah dan bakal memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.

Mengulas lanjut beliau berkata, mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh tertuduh wanita pada jam 4.23 petang 2 Jun lalu. 

“Dia menghubungi ambulans tetapi sejurus tiba di hospital, mangsa disahkan sudah meninggal dunia,” katanya. - Getaran, 16 Jun 2026