
KAJANG – Proses bedah siasat kedua pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin dijalankan pada Sabtu.
Peguam keluarga, Datuk Naran Singh Ara Singh berkata, jasad arwah digali semula pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu sebelum dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut terlebih dahulu.
Beliau berkata, proses bedah siasat ditetapkan berlangsung jam 9 pagi esok (Sabtu).
**media[3254717]**
"Kerja penggalian dilakukan empat penggali kubur bermula jam 8.45 pagi dan jasad dikeluarkan pada jam 9.22 pagi dalam keadaan baik.
"Jenazah dibungkus khas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dihantar ke IPFN, proses awal dijalankan hari ini, manakala bedah siasat penuh akan dijalankan jam 9 pagi esok," katanya ketika sidang akhbar di lokasi Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu di sini pada Jumaat
Menurut beliau, keluarga berpuas hati dengan perjalanan proses penggalian semula yang turut disaksikan tiga pakar forensik IPFN HKL serta pakar forensik keluarga, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh.
Sebelum ini, ibu arwah, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mendakwa melihat kesan kecederaan pada tubuh anaknya, termasuk mata, hidung berdarah, luka di dada serta lebam.
"Bagaimana Menteri Pertahanan boleh maklumkan tiada kecederaan dialami arwah.
"Pastinya seorang ibu berasa sedih dan akan terus menuntut keadilan," katanya.
Dalam pada itu, Naran menolak dakwaan perkhidmatannya sebagai peguam mahal dengan menegaskan beliau mewakili keluarga secara pro bono.
"Saya lakukan ini percuma, demi keadilan untuk semua tanpa mengira bangsa, kaum atau agama," katanya.

