
STROK bukan lagi penyakit yang hanya menimpa golongan warga emas.
Trend terkini menunjukkan peningkatan kes dalam kalangan individu berumur 40 hingga 60 tahun, yang sebahagiannya dipengaruhi oleh gaya hidup moden seperti pemakanan tidak seimbang, tekanan kerja yang tinggi, dan kurang tidur.
Pakar Neurologi, Dr Teh Pei Chiek di KPJ Damansara Specialist Hospital 2 menjelaskan, semakin banyak melihat pesakit strok dalam lingkungan umur 40 hingga 60 tahun.

"Perubahan gaya hidup dan tekanan kerja memainkan peranan penting dalam keadaan ini.
“Dalam rawatan strok kita sering menggunakan istilah ‘time is brain’.
"Ini bermaksud semakin cepat pesakit menerima rawatan, semakin besar peluang untuk menyelamatkan fungsi otak,” katanya.
Beliau menambah, rawatan awal biasanya diberikan dalam tempoh empat setengah jam selepas simptom bermula, namun kemajuan teknologi perubatan kini membolehkan rawatan tertentu dilakukan sehingga 24 jam dalam kes yang sesuai.
Kira-kira 80 hingga 85 peratus kes strok berpunca daripada saluran darah tersumbat, manakala selebihnya disebabkan oleh pendarahan dalam otak.
Antara rawatan yang diberikan termasuk ubat pencair darah bagi melarutkan darah beku serta prosedur mechanical thrombectomy untuk mengeluarkan bekuan darah dari saluran darah di otak.

Proses pemulihan selepas strok memainkan peranan penting dalam membantu pesakit kembali menjalani kehidupan harian.
Pusat rehabilitasi moden kini menawarkan pelbagai teknologi yang direka khusus untuk membantu pesakit memulihkan keseimbangan dan keupayaan bergerak.
Sementara itu, Ketua Rehabilitasi, Hazimatul Akmal menyatakan, ramai pesakit selepas strok mengalami masalah keseimbangan.
"Sistem latihan seperti Smart Balance platform membantu mereka melatih semula keupayaan untuk berdiri dan bergerak dengan lebih stabil.”
"Selain itu, teknologi anti-gravity treadmill membantu pesakit menjalani latihan berjalan secara berperingkat dengan sokongan berat badan yang dikurangkan.
"Manakala sistem robotik Cyberdyne HAL (Hybrid Assistive Limb) membantu latihan pergerakan dengan sokongan robotik," dedah pakar itu lagi.

Mengenal tanda awal strok
Petanda awal strok boleh dilihat melalui konsep BEFAST:
B – Hilang keseimbangan secara tiba-tiba
E – Gangguan penglihatan
F – Wajah senget
A – Kelemahan pada tangan atau anggota badan
S – Percakapan tidak jelas
T – Tindakan segera mendapatkan rawatan
"Jika seseorang menunjukkan simptom ini, jangan tunggu. Segera bawa pesakit ke hospital kerana masa sangat penting dalam rawatan strok,” tegas Dr Pei Chiek.
Kesedaran mengenai strok, pengesanan awal, dan pemulihan yang terancang adalah kunci untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Teknologi rehabilitasi moden kini memudahkan pesakit memulihkan keupayaan harian, menjadikan proses pemulihan lebih sistematik dan selamat.
Dengan pendekatan bersepadu, gabungan rawatan perubatan awal dan latihan pemulihan yang tepat dapat membantu pesakit kembali aktif dan berdikari, sekaligus mengurangkan risiko komplikasi jangka panjang.

Sementara itu, pusat KPJ Healthcare Berhad baru-baru ini melancarkan Pusat Kecemerlangan Neurosains dan Strok pertama.
Ini merupakan Pusat Kecemerlangan kedua di bawah Sistem Kesihatan KPJ (KPJHS) dan menandakan langkah penting dalam membangunkan rangkaian perkhidmatan bersepadu.
Pusat tersebut menghimpunkan pakar neurologi, pembedahan saraf, perubatan kecemasan, radiologi, rawatan rapi dan rehabilitasi bagi menyediakan aliran rawatan berstruktur bermula daripada kemasukan kecemasan, intervensi hiperakut, penjagaan kritikal sehingga pemulihan awal.

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim menekankan bahawa sistem berkenaan membolehkan keputusan klinikal pantas, intervensi tepat dan kesinambungan penjagaan sepanjang fasa kritikal.
DSH2 menyediakan akses 24 jam kepada pengimejan CT dan MRI berteknologi tinggi serta rawatan trombektomi mekanikal bagi kes strok akut.

Masa door-to-needle trombolisis dicapai dalam tempoh 60 minit untuk pesakit yang layak. Pemulihan bermula seawal fasa akut melalui program neurorehabilitasi, makmal Activities of Daily Living (ADL) dan terapi robotik, disokong oleh Jururawat Navigator Strok bagi memastikan penyelarasan penjagaan sepanjang proses rawatan.
Selain strok akut, pusat itu turut memberi tumpuan kepada gangguan pergerakan dan penyakit Parkinson, serta menyiapkan keupayaan prosedur Deep Brain Stimulation.
Dengan model bersepadu ini, KPJ terus memacu inovasi dan pendidikan dalam penjagaan neurologi, sejajar piawaian antarabangsa dan aspirasi Care for Life.
