
KUALA LUMPUR - Beg tangan jenama mewah Louis Vuitton (LV) dimiliki Ketua Penerangan Dewan Muslimat Pas Melaka, Hawa Yaakub tidak mencecah ratusan ribu ringgit seperti yang disebarkan di media sosial sebaliknya ia hanya berharga RM90,000.
Dewan Muslimat PAS Pusat dalam kenyataan menjelaskan, beg berkenaan juga bukan keluaran terkini.
Parti politik Islam itu tampil memberi penjelasan selepas Hawa menerima kecaman orang ramai selepas gambarnya tular memperagakan beg berkenaan.
Hawa sebelum itu membuat dakwaan kononnya ada rakyat Malaysia mati kelaparan ekoran kurangnya bekalan beras tempatan.
“Dewan Muslimat PAS Pusat ingin memaklumkan bahawa memang benar beg tangan tersebut adalah milik Hawa tetapi harganya bukanlah ratusan ribu ringgit seperti yang disebarkan di dalam media social.
“Beg tangan tersebut bukanlah keluaran yang terkini dan ia diperoleh Ketua Penerangan Dewan Muslimat Melaka dengan harga RM90,000 sahaja.
“Dewan Muslimat PAS Pusat ingin menyatakan pendirian bahawa kami berdiri teguh bersama Hawa atas dasar bahawa memiliki beg tangan tersebut adalah mematuhi syarat hukum syarak sepenuhnya.
“la bukan diperbuat daripada kulit binatang bernajis yang diharamkan oleh Islam,” katanya.
Terdahulu di akaun aplikasi X miliknya, Hawa menyelar satu laman ‘troll’ kerana memuat naik gambarnya membawa beg tangan LV.
Laman itu secara sinis berkata, Hawa sanggup menjualnya demi membantu rakyat yang kesusahan.
Hawa juga mengecam mereka yang menyerangnya tanpa mengetahui siapa yang membelikan beg itu dan mempertahankan ia dibeli bukan menggunakan wang pembayar cukai.
Sebelum itu Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyangkal dakwaan pemimpin Pas itu yang mendakwa banyak kes mati kelaparan di bawah kerajaan Madani kerana ketiadaan beras.
Sambil menyifatkanya sebagai melampau dan kurang cerdik, Rafizi meminta Hawa agar menghantar senarai rakyat yang memerlukan bantuan kepadanya. - 3 September, 2024
The post Beg LV bukan ratusan ribu ringgit, hanya RM90,000: PAS appeared first on Scoop.
